Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menolak spekulasi awal yang mengatakan PAS telah 'menyerah kalah' dalam krisis menteri besar Selangor.

Khairy berkata demikian di dalam Twitternya sebagai merujuk kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini yang menamakan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di samping Presiden parti itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata, keputusan yang dibuat parti Islam itu sebenarnya “menikam halus” Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Analisis awal salah. Mereka (PAS) tidak menyerah. Mereka (PAS) sekat 'Ketum' (ketua umum) banyak kali. Menikam kawan secara halus. Sangat cekap," katanya.

Pada peringkat awal, PAS dilihat menolak Wan Azizah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar dan mahu PKR memberi nama lain sebagai alternatif.

Sebelum mesyuarat Jawatankuasa pusat PAS diadakan, Majlis Syura Ulama PAS dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyatakan sokongan terhadap Khalid untuk terus menerajui negeri itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menggesa Pakatan memberi penumpuan terhadap pemerintahan negeri memandangkan krisis politik di Selangor berlarutan.

"Tahniah PAS kerana akhirnya mengambil pendirian. Sekarang kamu semua di dalam Pakatan berhenti berpolitik dan mula mentadbir Selangor," katanya di Twitter.

Membalas kenyataan Abdul Rahman ialah bekas ketua menteri Sabah, Datuk Salleh Said yang bersetuju dengan kenyataan tersebut dengan berkata: "Sangat bersetuju YB. Membuang masa...".

[Baca berita penuh]