Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Kerugian RM1,000 juta agensi k'jaan Johor perlu disiasat

Parti Rakyat Malaysia mendesak Badan Pencegah Rasuah menjalankan siasatan terhadap beberapa agensi kerajaan Johor yang menanggung hutang hampir RM1,000 juta.

Perbadanan Johor mengalami kerugian sebanyak RM562 juta, sementara Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebanyak RM430 juta.

"Masanya sudah sampai untuk BPR segera membuat penyiasatan apa sebab sebenarnya Perbadanan Johor, ASJ (Amanah Saham Johor) dan KPRJ mengalami kerugian berjuta-juta ringgit masing-masing," kata Naib Presidennya, Hassan Karim.

ASJ yang mempunyai 125,000 pelabur pula mengalami penurunan harga sehingga di bawah paras RM0.30 sen bagi setiap unit sejak awal tahun ini.

Pada peringkat awal pelancaran ASJ, Ketua Eksekutif Perbadanan Johor, Datuk Mohamad Ali Hashim, menyatakan harganya boleh mencecah RM5 seunit pada 1997.

Menurut Hassan, Menteri Besar sendiri mengaku di sidang dewan undangan negeri bahawa banyak syarikat milik Perbadanan Johor mengalami kerugian.

Kejatuhan harga saham itu dipercayai ada hubungan dengan kerugian yang ditanggung oleh agensi kerajaan negeri itu.

"Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Perbadanan Johor dan Muhamad Ali sama-sama patut bertanggungjawab terhadap kegagalan strategi pelaburan perbadanan itu," kata Hassan lagi.

"Kerugian Perbadanan Johor dan ASJ tidak boleh disalahkan hanya ke atas faktor kegawatan ekonomi."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS