Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UiTM akan wujud Kursi Raja-Raja Melayu
Diterbitkan:  Aug 19, 2014 1:39 AM
Dikemaskini: Aug 19, 2014 12:40 AM

Kursi Institusi Raja-Raja Melayu yang akan diwujudkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menjadi benteng bagi mempertahankan kedaulatan institusi itu.

    

Naib Canselornya, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, menerusi kursi itu, para penyelidik dapat menjalankan kajian ilmiah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kedudukan institusi raja di negara ini.

    

"Kini terdapat rakyat yang menggunakan akal fikiran secara logik menganggap golongan raja tidak lagi relevan.

    

Justeru, kajian serta penyelidikan yang khusus mengenai raja-raja Melayu perlu dijalankan secara intelektual dan ilmiah bagi mempertahankan institusi itu, sekaligus memantapkannya," katanya ketika merasmikan bengkel pemikir penubuhan kursi itu di Genting Highlands hari ini.

    

Teks ucapannya diedarkan kepada Bernama di Genting Highlands.

    

Bengkel tiga hari itu turut dihadiri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, para ilmuan, serta pemimpin pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM).

     

Bengkel itu dikendalikan bersama oleh UiTM dan Majlis Perundingan Melayu (MPM).

     

Dr Sahol Hamid berkata bagi melaksanakan tujuan penubuhan kursi itu, UiTM telah mengatur pelbagai program kenegaraan dan patriotisme.

     

Beliau berkata antaranya ialah mewujudkan mata pelajaran wajib mengenai institusi raja-raja untuk semua pelajar UiTM, latihan kepada pensyarah dan kakitangan serta menjadikan UiTM sebagai tempat rujukan latihan kepada guru-guru.

     

Katanya, peranan institusi kesultanan di negara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, dan selagi kerajaan Malaysia tidak beralih sebagai republik, institusi berkenaan akan terus wujud di negara ini.

     

"Kami di UiTM merasakan institusi itu perlu dipertahankan dan diperkasakan. Kursi ini sangat penting bukan sahaja untuk bangsa Melayu dan Malaysia bahkan untuk agama Islam," katanya.

     

Antara objektif utama penubuhan kursi itu ialah untuk memberi kesedaran dan kefahaman yang tepat kepada masyarakat, bertindak sebagai pusat rujukan Kesultanan Melayu, menjelaskan wasiat raja-raja Melayu yang menjadi nadi kepada roh semangat Melayu dalam jiwa masyarakat.

    

Beliau berkata kursi itu juga akan memainkan peranan untuk menjelaskan peranan raja-raja Melayu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan dan kedudukan orang Melayu tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan kaum-kaum lain.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS