Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menolak dakwaan bahawa Malaysia terhutang budi dengan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, jika benar dakwaan itu, sudah tentu baki mangsa tragedi MH17 tidak akan pulang ke negara ini dua hari lepas.

“Jika kita terhutang budi kepada AS, sudah tentu kita tidak akan dapat mencapai kesefahaman dengan (pemimpin pemisah Alexander) Borodai.

“Dan jika kita tidak pupuk kesefahaman ini, saya tidak fikir mangsa MH17 akan diterima kita dua hari lepas,” katanya di Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga berkata, jika Malaysia terhutang budi dengan AS, beliau sudah tentu tidak akan dapat melawat Gaza, wilayah Palestin yang diserang Israel, negara sekutu AS.

Najib berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan seorang pelajar berhubung pilihan Malaysia sama ada untuk menyokong AS atau China.

Perdana menteri bagaimanapun menjawab, perkara itu bukan seperti “memilih pasukan bola sepak”.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dasar luar Malaysia berdasarkan prinsip menyokong yang betul dan menolak yang tidak betul.

Katanya, berdasarkan prinsip itu, Malaysia dengan itu tidak terbeban untuk memilih antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

"Ia bukan semudah memilih kelab bola sepak, misalnya Manchester United...ini berseloroh sahaja.

"Kita tidak boleh memutuskan atau membuat pilihan dengan melihat kepada kekuatan kedua-dua negara ini," beliau dipetik sebagai berkata.

[Baca berita penuh]