'Tak patut perkecil istiadat penghormatan jenazah'
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tindakan segelintir individu memperkecilkan peranan kerajaan dalam Istiadat Penghormatan Jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 17 dan Hari Perkabungan Negara pada Jumaat lepas, adalah tidak patut.
Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah terbaik bagi menguruskan tragedi penerbangan MH17 yang menimpa negara dan sekurang-kurangnya apa yang dilakukan dapat membantu meringankan beban yang dipikul anggota keluarga dan waris mangsa.
"Sepatutnya (sebagai seorang warganegara) kita turut merasai kesedihan anggota keluarga dan waris... tetapi malangnya (ada) segelintir pihak yang sentiasa mempunyai sifat hasad dengki (dengan membuat tohmahan sebegitu)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pelancaran Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) Berhad di ibunegara malam tadi.
Setakat ini 24 jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 telah dibawa pulang ke Malaysia sehingga semalam dan dua daripadanya tidak didedahkan identiti atas permintaan keluarga.
Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah mangsa MH17 diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang.
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.
SANTUN iaitu sebuah program kecemerlangan komuniti di bawah kelolaan YaPEIM dengan anggotanya kini mencecah 3,600 orang bakal diperkasakan lagi dengan penubuhan koperasi sebagai asas keusahawanan, katanya.
"Saya berharap agar dapat melihat Koperasi Santun YaPEIM Berhad ini berkembang maju dan menjadi rujukan kepada koperasi lain," katanya.
- Bernama

