PAS Wilayah Persekutuan menuntut agar parti itu mengenakan tindakan disiplin ke atas dua orang ADUN yang menandatangani pengakuan berkanun untuk menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik ke jawatan menteri besar.

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Noor Mohamad berkata, tindakan Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) itu “menderhakai” keputusan Majlis Syura Ulamak PAS.

Aduan rasmi ini merupakan rentetan kepada usaha kumpulan yang menyokong kepimpinan utama dalam parti PAS untuk mengenakan tindakan ke atas Saari dan Hasnul (kiri) kerana mengambil tindakan bertentangan dengan keputusan badan tertinggi itu.

Dalam kenyataannya, Mohamad Noor turut menghina kedua-dua ADUN tersebut dengan mengumpakan mereka sebagai “virus AIDS" yang dibimbanginya akan berkembang dalam gerakan Islam tersebut.

“PAS Wilayah Persekutuan dengan ini juga turut mendesak agar tindakan yang segera mesti diambil di bawah fasal 82 Perlembagaan PAS ke atas kedua-dua Adun tersebut untuk mengelakkan virus aids haraki ini terus merebak dalam gerakan Islam PAS ini.

Mohamad yang menggariskan lima alasan dalam tuntutannya juga menyifatkan kedua-dua ADUN tersebut bertindak “biadap” kerana menunjukkan kesetiaan kepada badan lain dan bukannya kepada PAS.

Dalam kenyataannya, beliau juga mendakwa kenyataan Saari dan Hasnul itu secara teknikalnya merupakan “ugutan untuk keluar parti”.

“Ianya merupakan satu penghinaan kepada parti PAS yang dipimpin oleh Tuan Guru Datuk Mursyidul Am dan Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS.

“Sikap mereka berdua merupakan satu pendahulu yang tidak baik dan boleh mengundang bencana kepada gerakan Islam PAS yang sememangnya amat menitik beratkan soal tarbiah sebagai teras perjuangannya.

“Ianya boleh mencorakkan teladan kepada generasi selepas ini sekiranya tidak ada tindakan yang keras dan signifikan diambil,” katanya lagi.