Most Read
Most Commented
Read more like this

Kuota kemasukan ke universiti haruslah dihapuskan untuk membolehkan persaingan bebas antara pelajar-pelajar tanpa mengira kaum dan membentuk masyarakat adil, saran dua pertubuhan Cina hari ini.

Gabungan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor mengulas laporan akhbar yang menyebutkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menghapuskan sistem kuota jika pelajar Bumiputera tidak lagi memanfaatkan peluang ini.

Tempat kosong di institusi pengajian tinggi (IPT) awam akan diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera untuk mengelakkan golongan cerdik pandai bukan Bumpitera ke luar negara, katanya lagi seperti dilaporkan akhbar-akhbar utama berbahasa Cina semalam.

"Jika rakyat tidak mahu sistem kuota, kerajaan boleh menghapuskannya," katanya.

Setiausaha eksekutif Dong Jiao Zong, Bock Tai Hee, berkata sistem kuota menyebabkan pelajar Bumiputera tidak lagi berusaha dengan tekun kerana tempat di universiti mudah diperolehi.

Beliau mencadangkan sistem kuota harus dihapuskan untuk mewujudkan persaingan yang lebih adil kepada semua kaum tetapi kelonggaran harus diberikan kepada pelajar miskin, kurang upaya atau golongan minoriti.

Bagaimanapun Bock mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri itu sebagai "cakap-cakap sahaja" dan tidak ikhlas.

Pindaan perlembagaan

"Saya ingin bertanya kepada Dr Mahathir, siapakah 'rakyat' yang dimaksudnya itu? Cadangan untuk menghapuskan sistem kuota adalah salah satu isu yang tersenarai dalam (rayuan pilihanraya) Suqiu, namun ia tidak dapat dilaksanakan," katanya kepada malaysiakini .

"(Rayuan) Suqiu mendapat banyak sambutan bukan sahaja dari parti pembangkang dan parti kerajaan, malah juga dari pertubuhan-pertubuhan Melayu tetapi permintaan ini dinafikannya (Dr Mahathir) dan dianggapnya pula sebagai komunis."

Pengerusi bahagian belia Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Lee Soo Chen turut menyokong saranan Bock bagi menghapuskan sistem kuota dan memupuk persaingan yang lebih adil antara kaum.

"Sistem kuota tidak harus berasaskan kaum tetapi berdasarkan kategori tertentu (selain kaum)," katanya. "Kenyataan Dr Mahathir (itu) diharapkan bukan sekadar untuk menyedapkan hati."

Beliau juga menggesa kerajaan mengurangkan bantahan jika sistem kuota ingin dihapuskan.

Bagaimanapun Pengerusi DAP Lim Kit Siang mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri itu dan menyifatkan sebagai "tindakan positif dan membina yang pertama sejak 18 bulan selepas pilihanraya umum" pada 1999.

Sementara Parti Rakyat Malaysia pula menggesa pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana ia tidak memberikan panduan yang jelas bagaimana menangani isu kuota apabila kekosongan itu gagal diisi oleh pelajar Bumiputera.

"Memandang keadaan baru dan panduan perlembagaan yang tidak jelas (tentang hal ini), satu kajian ke arah pindaan perlembagaan perlu dibuat," kata Presidennya Dr Syed Husin Ali.

Perkara 153 (8A) perlembagaan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengarahkan IPT memberikan tempat jika ramai pelajar Bumiputera layak mendudukinya. Bagaimanapun tidak terdapat sebarang peruntukan dalam kes terbaru ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS