Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menganggap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiada kuasa untuk mewakili Selangor dalam majlis tandatangan Perjanjian Utama pengambilalihan perkhidmatan air dengan kerajaan pusat.
"Ia akan jadi masalah bila ada pihak pertikaikan perjanjian yang ditandatangani itu nanti tidak sah," katanya.
Bercakap dalam sesi soal jawab forum mengenai kemelut MB Selangor, Aziz berkata beliau tak boleh klasifikasikan kerajaan apa yang ada di selangor sekarang.
Forum bertajuk 'Kemelut MB Selangor: Mampukah PR bertahan?' anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) di Kuala Lumpur malam tadi.
Jumaat lalu, Khalid mewakili Selangor menyaksikan perjanjian bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mewakili kerajaan persekutuan
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang mewakili kerajaan persekutuan, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang mewakili kerajaan Selangor manakala Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Suhaimi Kamaralzaman.