Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid akan letak jawatan ADUN P Klang?
Diterbitkan:  Oct 5, 2014 8:22 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Satu laporan hari ini mendakwa bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim didakwa akan mengosongkan kerusi DUN Port Klang yang diwakilinya.

Laporan Sinar Harian yang memetik sumber “terdekat" Khalid mendakwa beliau akan meletak jawatan sebagai ADUN Bebas Pelabuhan Klang sebaik pulang dari cuti sabatikal.

Laporan berkenaan tidak menjelaskan sama ada Khalid akan turut mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Sekiranya benar, ia akan memberi laluan kepada satu lagi pilihan raya kecil di Selangor, selepas pilihan raya kecil Kajang.

Menurut sumber Sinar Harian , Khalid merancang untuk meletak jawatan sebelum persidangan DUN Selangor pada November.

Bagaimanapun, speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh dalam laporan sama menyebut, beliau masih belum menerima apa-apa notis berhubung peletakan jawatan Khalid.

"Saya tak dengar apa-apa pun, saya juga tidak terima apa-apa dokumen (notis letak jawatan) daripada beliau, tak ada," kata Yeoh seperti dipetik dalam laporan Sinar.

Sementara itu, laporan Oriental Daily pula menyebut, bekas setiausaha politik Khalid, Faekah Husin menafikan desas-desus tersebut.

Khalid meletak jawatan sebagai menteri besar pada bulan lalu selepas pergelutan politik selama dua bulan di Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS