Mah sah peletakan jawatan pemimpin Pemuda Gerakan
Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong mengesahkan hari ini bahawa lima pemimpin Pemuda Gerakan telah meletakkan jawatan ekoran perbezaan pandangan dengan Ketua Pemuda kebangsaan parti itu, Tan Keng Liang.
Bagaimanapun, Mah berkata, mereka masih kekal menjadi anggota jawatankuasa pusat Pemuda Gerakan.
Mereka ialah naib pengerusi Lee Chen Peng; dua timbalan setiausaha agung, Tang Luan Kang dan Ooi Zhi Yi; timbalan bendahari Chan Tzun Hei, dan ketua Biro NGO Antarabangsa, Chong Chee Yen.
Pada masa yang sama, Mah berkata, setiausaha politiknya Ivanpal Singh Grewal juga meletak jawatan sebagai anggota jawatankuasa pusat yang dilantik Pemuda Gerakan, manakala setiausaha akhbarnya, Lim Yen Leng melepaskan jawatan sebagai anggota jawatankuasa pusat dan pegawai publisiti Wanita Gerakan.
Katanya, Ivanpal (kiri) dan Lim meletak jawatan atas nasihat beliau
agar mereka dapat menumpukan perhatian membantu beliau dalam kerja-kerja parti.
Mah berkata kira-kira 50 pemimpin sayap Pemuda dan ahli, bertemu dengannya semalam untuk tidak membincangkan bukan sahaja isu peletakan jawatan itu, tetapi juga bagaimana Pemuda Gerakan dapat bergerak ke hadapan.
Beliau berkata beliau menghormati keputusan lima pemimpin Pemuda yang meletak jawatan itu, dengan berkata, mereka hanya memerlukan masa untuk bertenang.
"Saya fikir pemimpin-pemimpin muda perlu masa untuk bertenang. Saya yakin ia bukan satu masalah besar dan saya yakin kita semua masih boleh terus bersama-sama bekerja. "

