Acara khas di T'ganu saksi gerhana bulan
Orang ramai termasuk para pelajar tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan di Pantai Pandak di Kuala Terengganu malam tadi.
Fenomena Gerhana Bulan Penuh yang disaksikan itu merupakan gerhana bulan kali kedua untuk tahun 2014 selepas fenomena pertama yang berlaku pada 15 April lepas tetapi tidak dapat disaksikan di langit Malaysia.
Justeru itu Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menganjurkan program Pencerapan Gerhana bagi memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan fenomena itu.
Sebelum melakukan pencerapan orang ramai terlebih dahulu mengadakan solat hajat dan mendengar tazkirah di Masjid Sultan Ismail.
Gerhana bulan separa itu mula kelihatan kira-kira pukul 7.10 malam sebelum kelihatan penuh pada pukul 8.45 malam.
Seorang pengunjung Hasbi Zuraini Abu Bakar, 42 berkata setiap kali mendapat maklumat berhubung kejadian itu dia tidak akan melepaskan peluang menyaksikannya.
Katanya peluang seperti ini sukar diperolehi dan dia sekeluarga tidak mensia-siakannya dan langkah yang dilakukan PSKT ini juga pendedahan tentang ilmu astronomi di samping pencerahan dari sudut Islam kepada masyarakat sekitar.
"Setiap kali saya dengar hebahan berlakunya gerhana saya akan bawa anak saya untuk melihat fenomena yang jarang dapat disaksikan dengan mata kasar," katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu seorang warga emas Harun Mahmud, 65 berkata jika dahulu setiap kali berlakunya gerhana penduduk kampung akan memukul gendang memaklumkan kepada orang ramai untuk melihat fenomena itu.
"Dulu kita tidak tahu bila berlaku gerhana namun kini dengan peralatan yang serba canggih kita dapat tahu lagi awal untuk dikongsi bersama yang lain," katanya.
- Bernama

