Peguam: Akta Papa macam 'ISA gelandangan'
Peguam dan koordinator Lawyer for liberty (LFL), Michelle Yesudas, menyarankan supaya kerajaan memansuhkan Akta Papa 1977 kerana ia didakwa tidak relevan dan tidak membela nasib golongan gelandangan.
Katanya, golongan gelandangan dianggap seperti penjenayah kerana definisi akta itu menetapkan sesiapa sahaja berpeleseran di jalanan, berpakaian compang-camping dan tiada tempat tinggal ditangkap.
“Dari segi definisi, pelaksanaan dan penggunaan secara diskriminasi dalam akta itu sama seperti Akta Hasutan dan ISA (Akta Keselamatan dalam Negeri).
“Gelandangan dianggap penjenayah hanya sebab mereka tidak mampu menyara diri,” katanya dalam sebuah forum “Gelandangan: Isu, penyelesaian dan masa depan” di ibu negara semalam.
Michelle juga mendakwa gelandangan seharusnya diberi pilihan untuk menentukan apa yang mereka mahu dan bukannya memaksa dan menangkap mereka seperti seorang penjenayah.
Turut bertindak sebagai ahli forum seorang pegawai kanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Mad Darus Hassan dan koordinator kumpulan Dapur Jalanan Hadi Khalid.
JKM: Bukan tangkap, tapi selamatkan
Sementara itu, Mad Darus pula menolak saranan pemansuhan akta berkenaan atas alasan ia selama ini menjadi akses kepada kebajikan masyarakat untuk membantu golongan tidak bernasib baik.
“Tiada istilah menangkap orang gelandangan, kami hanya menyelamatkan mereka yang memerlukan dan tempatkan mereka di rumah kebajikan masyarakat yang lebih selesa daripada membiarkan mereka hidup di jalanan,” katanya.
Beliau juga berkata akan ada pindaan bagi akta ini dan pemansuhan adalah tidak relevan sama sekali.
Katanya,tanpa akta itu, pihak jabatan kebajikan masyarakat akan menghadapi masalah dalam melaksanakan bantuan terhadap golongan gelandangan.
NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini .

