Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengancam untuk mengambil tindakan ke atas media yang menyiarkan satu kenyataan beliau – yang menyebabkannya disiasat polis kerana didakwa berbaur hasutan.

Satu laporan Bernama menyebut, Ahmad Zahid berkata beliau boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap “pemberita yang menulis di luar daripada apa yang terdapat dalam rakaman ucapannya".

Katanya, tindakan itu juga melibatkan portal berita dan akhbar yang menyiarkan tulisan berkenaan.

Menurut laporan itu, beliau beliau bersedia untuk membantu siasatan polis bagi membuktikan bahawa pasukan itu tidak pilih kasih dalam siasatan berhubung kes melibatkan Akta Hasutan.

"Saya terbuka. Saya bukan seorang yang rasis, dan saya mempunyai bukti apa yang saya perkatakan itu tidak sebagaimana laporan polis itu dibuat," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Menurut Zahid, beliau menyerahkan rakaman ucapannya dalam bentuk audio dan visual kepada pegawainya, untuk diserahkan kepada polis.

DAP Perak sebelum ini membuat laporan polis terhadap Zahid kerana didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan dalam ucapannya berkaitan demonstrasi dekat Kuala Kangsar semasa krisis perlembagaan Perak, ketika kempen pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.

Ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telahpun menyatakan kesediaan untuk menyiasat menteri berkenaan.