PAS: PP perlu berlapang dada kritikan Iszuree
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat kritikan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Iszuree Ibrahim berhubung isu pembangunan terhadap kerajaan negeri, perlu diterima secara berlapang dada.
Sekalipun beliau tidak bermaksud mempertahankan Iszuree yang kini digantung, Tuan Ibrahim berkata Pakatan Rakyat perlu melihat hal itu melalui prinsip keterbukaan seperti yang dilaungkan sebelum ini, lapor Utusan Malaysia hari ini.
Laporan itu juga menyebut, Tuan Ibrahim berkata menjadi amalan biasa dan bukan suatu yang pelik dalam muktamar PAS apabila terdapat perwakilan yang mengkritik keputusan parti.
"Ini kerana ia merupakan medan terbaik untuk membangkitkan masalah rakyat dan pemimpin Pakatan harus melihatnya dari sudut positif.
"Jika kita mendakwa mengamalkan konsep terbuka, maka perkara itu harus dilihat secara positif, tidak ada masalah tetapi apabila tafsiran negatif dibuat, maka ia menjadi negatif," katanya dipetik.
Sementara itu, dalam laporan yang lain, akhbar itu melaporkan Iszuree akan memastikan perjuangannya sebelum ini berterusan walaupun menerima tekanan daripada pihak tertentu.
Iszuree berkata beliau masih lagi bersemangat untuk berkhidmat sebagai ahli majlis walaupun peruntukannya dibekukan serta digugurkan daripada menganggotai mana-mana jawatankuasa kecil MPPP.
"Saya akan pastikan apa yang diperjuangkan seperti pembinaan pasar awam bernilai RM20 juta di Teluk Kumbar yang sudah diluluskan akan berjalan seperti dirancang," katanya.
Akhabr itu juga menyebut Iszuree berkemungkinan boleh bertahan sehingga hujung tahun ini kerana kontraknya akan tamat selepas itu.

