'Tidak releven' adalah istilah yang paling relevan bagi menggambarkan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat 23 April lalu.

Mahathir meninggalkan dewan sejurus selepas rancangan tersebut diluluskan. Sebagai penggubal utama dasar tersebut, beliau tidak meluangkan masa walau sedikit untuk menjawab soalan atau mendengar isu yang dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat sewaktu sesi perdebatan.

Beliau tidak pula menghadiri sesi-sesi perbahasan pada hari-hari berikutnya untuk mendengar cadangan dan kritikan terhadap rancangan lima tahun tersebut.

Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pula mengikut teladan Perdana Menteri. Daim masuk dewan semasa Dr Mahathir berdiri membaca skrip dan keluar sebaik sahaja Mahathir habis pembentangan.

Walau cuba lari daripada publisiti, malangnya di luar dewan Daim telah dikerumuni wartawan-wartawan yang ingin tahu sebab-sebab beliau membuat keputusan mengambil cuti panjang selama dua bulan daripada jawatannya sekarang.

Khabar angin bertiup kencang. Soalannya: apakah Daim akan meninggalkan dunia politik selepas bercuti? Apakah nasibnya seperti bekas Timbalan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim), Daim akan diminta meletakkan jawatan kerana tidak lagi serasi dengan Dr Mahathir?

Khabar angin mengenai peletakan jawatan Daim tidak mungkin begitu sensasi sehingga boleh menenggelamkan pembentangan RMK-8 jika keadaan ekonomi negara ini lebih stabil, jika pasaran saham tidak menunjukkan tanda-tanda menurun ke paras yang minima.

Dalam kemelut politik yang dikaburi dengan ketidakyakinan ekonomi, RMK-8 seperti juga Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) yang dibentangkan awal bulan lalu dianggap dokumen-dokumen yang hanya bersifat retorik.

Kesan globalisasi tidak banyak disebutkan dalam RMK-8, kata seorang pemimpin pembangkang wanita pada forum 'Krisis Politik dan Ekonomi: Kesan ke atas Golongan Pekerja' anjuran DAP Jumaat lalu di Pulau Pinang.

"Saya pernah bertanya di Dewan Rakyat sama ada gejala globalisasi akan memberi kesan khusus kepada golongan wanita. Jawapan yang saya terima dari seorang Setiausaha Parliamen adalah globalisasi akan memberi kesan yang sama kepada sesiapa sahaja yang tidak dapat bersaing," kata Chong Eng, yang juga merupakan anggota Dewan Rakyat kawasan Bukit Mertajam.

Masa anjal untuk lelaki

"Ini mustahil sama sekali. Globalisasi memang memberikan kesan khusus kepada wanita kerana apabila wanita berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan, keluarganya terjejas. Sekiranya beliau diberhentikan kerja, keluarga beliau juga akan terjejas," tambahnya.

Negara-negara membangun seperti Indonesia, Thailand dan Filipina bergantung pada wanita untuk membawa masuk wang asing, katanya. Beliau berkata jika negara kita tidak mengambil langkah-langkah wajar, gejala globalisasi akan membawa kesan negatif ke atas wanita dan keluarga.

"Itulah sebabnya kami terus mencadangkan gaji minima untuk pekerja. Jika seorang pekerja tidak dapat menanggung keluarganya, mereka akan mendatangkan masalah kepada masyarakat. Oleh itu, lebih baik masalah gaji minima diselesaikan daripada menghadapi masalah sosial yang timbul akibat kekurangan pendapatan keluarga," jelas Chong Eng.

"Kami juga menyokong penuh perjuangan pekerja untuk menubuhkan kesatuan. Tanpa pertubuhan tersebut, hak pekerja tidak mungkin dapat dijamin, apatah lagi ketika kegawatan ekonomi," tambahnya.

Chong Eng menceritakan kisah sebuah kilang telah disewa dan pekerja-pekerjanya diberhentikan tanpa faedah pemberhentian kerja. Seorang demi seorang pekerja disuruh menandatangani surat peletakan jawatan. Mereka tidak ada pengetahuan untuk berdepan dengan pengurus sumber manusia yang berpendidikan universiti. Pekerja tidak sedar hak-hak mereka, bagaimana hendak mempertahankan hak tersebut, kata Chong Eng, dan seterusnya menekankan betapa perlu kesatuan sekerja.

RMK-8, kata Chong Eng, menyebut masa anjal untuk wanita yang ingin bekerja di rumah dan menjaga anak.

"Tetapi saya cadangkan masa anjal ini dibenarkan juga untuk kaum lelaki yang ingin bekerja di rumah dan menjaga anak. Tanggungjawab rumahtangga dan menjaga anak harus dikongsi bersama dan bukannya ditanggung oleh isteri sahaja," tegasnya.

Beliau berkata RMK-8 turut mencadangkan taman asuhan kanak-kanak untuk ibu bekerja. Cadangan ini telah diutarakan dalam RMK-6, namun sehingga hari ini 'habuk pun tidak ada,' kata Chong Eng.

"Sekiranya kerajaan mahu menggalakkan wanita bekerja, sediakan taman asuhan seperti di negara-negara maju," kata beliau.

MTUC tidur?

"Setakat ini ada 34,000 buah keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan di negara ini. Amat penting isteri dalam keluarga ini bekerja untuk membantu menampung perbelanjaan isi rumah. Namun, siapa pula yang akan menjaga anak-anak jika mereka keluarga bekerja?" tanya Chong Eng.

Beliau berkata, jika kerajaan mahu menggalakan penglibatan wanita untuk memajukan ekonomi seperti di negara-negara maju, kerajaan harus memastikan tempat kerja yang selamat dan juga mengelakkan gangguan seksual.

Sementara Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang Abdul Razak Hamid menegaskan kongres itu tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk berpiket pada Sabtu ini.

"Ramai yang menyoal adakah MTUC itu bermakna 'empty-you-see' ('anda lihat kosong sahaja') atau adakah MTUC itu tidur?" katanya. "Kami bukannya kosong dan kami tidak tidur. MTUC meneliti segala masalah pekerja di seluruh negara."

Beliau merungut mengenai pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didakwa berbohong kepada pencarum walaupun akta kumpulan wang itu (1951) menjamin hak pencarum dan simpanan hari tua mereka.

Isu-isu ini, katanya, sentiasa diketengahkan oleh MTUC dan tujuan utama piket pada hujung minggu ini bertujuan mendesak KWSP menghapuskan skim pencen anuiti yang dikendalikan oleh syarikat insurans terpilih, mengembalikan faedah hilang upaya yang telah diturunkan secara mendadak kepada RM2,000 (daripada RM30,000), menjamin dividen tahunan yang lebih tinggi (tahun lalu, 6 peratus atau kadar paling rendah dalam tempoh 27 tahun), pengurusan panel pelaburan KWSP yang lebih telus dan bertanggungjawab, dan juga memansuhkan dasar menurunkan kadar caruman pekerja sebanyak dua peratus (kepada 9 peratus) walau idea asalnya daripada Dr Mahathir.

"(Saranan PM) ini satu keputusan yang sewenang-wenangnya. Kami menolak sama sekali keputusan sedemikian rupa," tegas Abdul Razak.

Beliau juga membandingkan keupayaan KWSP memberikan dividen dengan tabung-tabung simpanan lain seperti Tabung Haji, Tabung Perwira dan Amanah Saham Nasional. Pada 1991, katanya, dividen KWSP sama dengan Tabung Haji (8 peratus), manakala Tabung Perwira berupaya memberikan dividen 10 peratus.

Pada 1995 pula, dividen KWSP menurun tetapi Tabung Haji bertambah 1.5 peratus (kepada 9.5 peratus) berbanding Tabung Perwira berjaya memberikan dividen 13 peratus.

'Pil Viagra'

"Ada sesuatu yang tidak kena dengan KWSP. Keadaan ini menyebabkan orang ramai bertanya: 'Apa sudah jadi, MTUC?' Tidak lama lagi dividen kami akan turun ke peringkat 2.5 peratus seperti yang ditetapkan dalam Akta KWSP 1951," kata Abdul Razak lagi.

Menyokong saranan Chong Eng berhubung gaji minima, pemimpin MTUC itu berkata gaji itu bukan keistimewaan tetapi hak pekerja kerana peruntukannya termaktub dalam Akta Majlis Gaji 1947.

"Walaupun negara sudah merdeka dalam tahun 1957, pekerja masih belum merdeka," kata Abdul Razak, disambut tepukan gemuruh daripada kira-kira 100 hadirin.

Ong Boon Keong pula, yang mewakili jawatankuasa 'Selamatkan Diri Sendiri' (SOS) turut menyokong usaha MTUC berpiket dan berhujah perhimpunan aman diperlukan untuk menyuarakan pendapat secara kolektif.

Tambahnya, tanpa perhimpunan aman untuk menyuarakan pendapat atau menegaskan sesuatu perjuangan, hak asasi manusia tidak dapat dipertahankan dan masyarakat tidak dapat mengecapi kebaikan.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang pula mendedahkan beberapa skandal nasional seperti usaha menyelamatkan kroni (pemilik Time dotCom dan syarikat penerbangan MAS), keputusan ganjil Daim bercuti ketika ekonomi gawat, pendidikan tinggi yang tidak dapat menyediakan tempat untuk lulusan STPM and SPM yang cemerlang, tangkapan akta ISA dan juga pemilihan Perdana Menteri tiga kali berturut-turut sebagai seorang dari sepuluh pemimpin dunia yang dianggap 'musuh utama akhbar' (the worst enemies of the press).

Dengan lucu, Kit Siang berkata, bulan lepas negara telah diberikan 'pil Viagra,' iaitu dalam bentuk pakej berjumlah RM3 bilion untuk membantu ekonomi negara yang lembab, dan rancangan pembangunan RMK-8 dan RRJP3.

"Namun prestasi ekonomi negara masih lembab. Ia boleh dilihat melalui prestasi pasaran saham selepas 'suntikan Viagra.' Berbanding negara lain di Asia, pasaran saham negara ini turun sebanyak 13.8 peratus," kata Lim.

"Apakah kita bersedia untuk menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi, ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) dan sebagainya?" soal Lim lagi, menutup forum malam itu.


SUSAN LOONE bertugas sebagai wartawan malaysiakini