Lima pendatang asing tanpa izin mati lemas apabila sebuah bot pancung yang mereka naiki karam di perairan pantai Sungai Tengah, Bandar Penawar, Kota Tinggi, di Johor Bahru awal pagi semalam.

    

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Low Hang Seng berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.25 pagi ketika bot tiga enjin berkenaan dipercayai dalam perjalanan keluar dari negara ini menuju ke Batam, Indonesia.

    

"Kejadian menyebabkan dua wanita dan tiga lelaki mati lemas manakala seramai 36 yang lain selamat," katanya semalam.

Low berkata jumlah sebenar pendatang asing di dalam bot terbabit belum dapat dipastikan dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

    

Beliau berkata mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala mereka yang terselamat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan.

- Bernama