Wartawan digesa berarak bantah akta hasutan
Sekumpulan perikatan longgar pengamal media mengajak wartawan berarak bersama-sama Badan Peguam Malaysia untuk menuntut pemansuhkan Akta Hasutan, esok.
Gerakan Media Marah (GERAMM) berkata seruan menyertai himpunan itu dibuat bagi menyuarakan bantahan terhadap undang-undang yang disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media.
Himpunan "Walk for Peace and Freedom" itu akan bermula jam 10.30 pagi bertempat di tapak letak kereta Padang Merbok sebelum berarak ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kerajaan.
"GERAMM dengan ini menyeru semua pengamal media yang turut membantah penggunaan Akta Hasutan agar bersama-bersama berhimpun dan menuntut agar pihak kerajaan memenuhi janji untuk melaksanakan reformasi undang-undang serta menjamin hak kebebasan bersuara bagi semua rakyat Malaysia," kata GERAMM.
Dalam kenyataannya, Geramm berkata penyertaan mereka itu dibuat susulan pertemuan wakilnya dan Institute of Journalist Malaysia dengan setiausaha akhbar kepada perdana menteri Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.
Ia bagi menyerahkan petisyen mengandungi lebih seratus tandatangan pengamal media yang membantah akta tersebut.
Merujuk siasatan terhadap wartawan kanan Malaysiakini Susan Loone, kumpulan itu berpendirian bahawa terdapat banyak "kekaburan" dalam peruntukan akta itu.
Justeru, tambah GERAMM, ia boleh digunakan untuk menakutkan mana-mana individu daripada bersuara.
"Pihak berkuasa juga digesa menyiasat dengan profesional pengamal media apabila berita atau artikel yang diterbitkan menjadi fokus siasatan," kata kumpulan itu.

