BERITA

Polis digesa bertindak awal pada kempen pro-Anwar

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Okt 2014, 8:02 pagi

Polis digesa memantau dan mengambil tindakan awal terhadap penganjuran kempen setiakawan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang keputusan penting kes Liwat II hujung bulan ini.

Pemimpin kanan Umno Kuala Lumpur Datuk Seri Syed Ali AlHabshee itu berkata, kempen Pemuda PKR (AMK) itu hanya bertujuan memberi tekanan kepada mahkamah yang akan membuat keputusan.

“Tindakan AMK menganjurkan kempen seumpama ini seolah-olah mempersenda badan kehakiman di negara ini perlu diambil tindakan sewajarnya.

“Bagi saya sistem undang-undang di negara ini adil dan saksama,” katanya yang juga setiausaha Umno Wilayah Persekutuan dan ketua Umno Cheras.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh mempersoalkan integriti sistem kehakiman negara ini.

"Jadi semua pihak kena akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh mahkamah dalam kes rayuan fitnah II Anwar Ibrahim,” katanya.

AMK semalam melancarkan kempen selama 14 hari (bermula hari sama) bagi menunjukkan setiakawan terhadap Anwar, ketua pembangkang dan ketua umum PKR, bertemakan “Rakyat Hakim Negara”.

Kemuncak program itu akan diadakan di Putrajaya pada 28 Oktober, tarikh sama rayuan Anwar untuk mengetepikan pertuduhan liwat didengar Mahkamah Rayuan.

AMK merancang mengadakan flash mob , edaran risalah, ceramah di seluruh negara dan kempen di media sosial.

Syed Ali juga berkata kempen sebegitu membuktikan Anwar muflis idea sehingga menjadikan AMK sebagai “kuda tunggangan” dan mempengaruhi rakyat agar tidak hormat pada sistem keadilan negara.

Justeru, katanya, ada baiknya polis bertindak awal termasuk merampas risalah-risalah “fitnah” terhadap kerajaan, termasuk dalam isu lain seperti Akta Hasutan 1948, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan harga minyak.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.