NGO, Majlis Peguam mahu speaker tak berpihak
Beberapa NGO masyarakat sivil dan Majlis Peguam hari ini mencadangkan agar speaker Dewan Rakyat dipilih oleh anggota Parlimen sendiri dan bukannya dilantik oleh satu pihak sahaja.
Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah berkata hal itu penting bagi Parlimen mempunyai speaker yang tidak berpihak atau digunakan oleh pihak majoriti yang memenangi pilihan raya sahaja.
Sekarang ini seorang speaker dan timbalannya dipilih oleh parti gabungan dalam BN.
"Dalam apa jua perkara, mereka yang mempunyai kepentingan perlu terlibat langsung," katanya dalam sidang media selepas perjumpaan NGO dan MP Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.
"(Pemilihan speaker oleh MP) ini merupakan amalan yang dilakukan banyak negara lain seperti United Kingdom," katanya lagi.
Maria berkata walaupun pada penggal baru speaker dipilih menerusi undian, ia sepatutnya dilakukan menerusi undi rahsia bagi memastikan speaker dipilih secara demokrasi.
Manakala wakil NGO Projek Beres Syahredzan Johan pula berkata United Kingdom yang dijadikan model kepada Parlimen ala Westminster negara itu turut memilih speaker bukan dari parti pemerintah untuk mengelakkan ketidakadilan dalam perbahasan.
Hal itu dipersetujui Pengerusi NGO Engage Thomas Fann yang menyatakan hal itu penting dalam soal akauntabiliti.
MP BN tak hadir
"Jika seseorang itu dilantik, maka dia bertanggungjawab kepada orang yang melantiknya, tetapi jika dipilih dewan, maka beliau bertanggungjawab kepada dewan," kata beliau.
Cadangan itu merupakan antara perkara yang dilontarkan kepada 18 MP Pakatan dalam pertemuan dua jam mereka hari ini. Bagaimanapun pertemuan itu dilihat kurang berkesan kerana ketiadaan MP BN.
Syahredzan yang juga seorang peguam bagaimanapun yakin MP yang hadir akan membantu mencetuskan satu perbahasan bagi penambahbaikan itu dilakukan.
"Jika saluran ini tidak dapat menyampaikan kepada sebelah sana (MP) dan menteri mungkin ada saluran lain yang boleh kita gunakan.
"Harapnya kita boleh fokus beberapa perkara yang dapat dilihat oleh pemerintah," kata beliau.
Sementara itu, Maria berkata gabungan NGO itu turut bercadang terus menjelajah seluruh negara bagi menyampaikan idea mereka.
"Apa yang dicadangkan bukan perkara baru ia ada dalam 'standing order' tetapi tidak dijadikan undang-undang. Soalnya ialah mendesak MP untuk mengimplementasikan apa yang telah dicadangkan," katanya.
Selain Bersih 2.0, antara NGO yang hadir dalam pertemuan itu ialah Projek Beres, Tindak Malasyia, Engage, Groham, GMM, Ideas dan Empower. Ia turut disertai Majlis Peguam Malaysia.

