NGO setuju syor tambah elaun penyelidik MP
Sekumpulan NGO bersetuju dengan cadangan menambah elaun pembantu penyelidik kepada anggota parlimen (MP) bagi menambah kualiti mereka.
Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah berkata seorang MP memerlukan pembantu penyelidik yang boleh membantu mereka mendapatkan data dan maklumat tepat tentang sesuatu perkara.
"Sekarang MP perlu menggunakan wang sendiri untuk menggajikan pembantu penyelidik mereka.
"Di Parlimen hanya ada kira-kira 10 pembantu penyelidik untuk membantu dalam penyelidikan dan data mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan 18 MP Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.
Minggu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan pembangkang bersetuju supaya mereka diberi elaun untuk menggajikan pembantu dan pegawai penyelidik.
NGO percaya penyelidikan itu mampu membantu MP menjadi lebih berkualiti dan berkesan dalam mewakili rakyat di Dewan Rakyat.
Sementara itu Pengerusi Engage Thomas Fann berkata masyarakat sivil turut menilai untuk melancarkan "Parlimen Watch" untuk memantau prestasi MP di Parlimen.
Beliau menegaskan hal ini penting kerana mereka dipilih untuk mewakili rakyat dalam pelbagai perkara.
"Saya lihat dalam perbahasan hanya ada kira-kira 20 peratus MP yang hadir. Ke mana mereka pergi?" soalnya
Antara NGO terlibat ialah Beres, Tindak Malaysia, Engage, Groham, GMM, Ideas dan Empower dan turut disertai oleh Majlis Peguam Malaysia.

