Prof: Sebagai menteri Nancy bertanggungjawab
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri hanya cuba "melepaskan diri" berhubung jawapannya di Parlimen berkaitan tiada tindakan terhadap Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, dakwa seorang pakar undang-undang.
Bagaimanpun, kata pakar undang-undang perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari, Nancy lupa bahawa beliau bercakap sebagai seorang menteri, bukan sebagai ahli Parlimen atau hanya warga biasa.
"Sebagai anggota kabinet, Nancy terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama.
"Beliau tidak boleh menuding jarinya kepada Pejabat Peguam Negara (AG), walaupun itu mungkin (apa yang pejabat AG kata)," katanya kepada Malaysiakin i hari ini.
Nancy menjadi sasaran kritikan ekoran jawapan bertulisnya di Parlimen bahawa tiada tindakan terhadap Ibrahim yang menyeru supaya Bible Melayu yang mengandungi kalimah Allah dibakar.
Nancy kemudian mendakwa bahawa beliau hanya memetik Pejabat
Peguam Negara apabila beliau menjawab tiada tindakan akan diambil kerana tindakan Ibrahim itu "hanya mempertahankan kesucian agama Islam ".
Setakat ini, tidak ada tindakan yang diambil terhadap Ibrahim atau kumpulan pendesak PERKASA berhubung perkara tersebut.
"Dasar kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai hasutan adalah jelas, dan Nancy sebagai anggota kabinet, terikat dengannya," kata Abdul Aziz.
Menurutnya, itulah yang dinyatakan oleh perlembagaan mengatakan dalam Perkara 43 (3); bahawa jemaah menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.
Abdul Aziz berkata, Nancy kini perlu menjelaskan sama ada beliau bersetuju dengan dasar atau tidak.

