Bayi lelaki ditemui di perkarangan surau
Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di perkarangan sebuah surau di Jalan Platinum, Seksyen 7 di Shah Alam awal hari ini.
Menurut jurucakap polis, bayi seberat 3.15 kg itu ditemui orang awam dalam keadaan dibalut dengan selimut pada kira-kira jam 2 pagi.
"Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru dilahirkan antara tiga dan empat jam sebelum ditemui," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Azisman Alias ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan itu.
"Bayi itu kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dalam keadaan sihat...siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab
membuang bayi berkenaan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.
- Bernama

