Susahnya cari jerebu, kenapa JAS bisu?
Kuman di seberang nampak, gajah di depan mata tidak nampak - tepat sekali menggambarkan sejenis 'kerja gila' yang dilakukan dengan sungguh-sungguh oleh sekumpulan wartawan malaysiakini hari ini.
Kami memantau isu jerebu sejak ia muncul beberapa bulan lalu. Tugas kewartawanan yang paling senang, dengan hanya menelefon Jabatan Alam Sekitar atau Jabatan Kaji Cuaca akhirnya bertukar pengembaraan siber yang rumit - seolah-olah seorang pakar alam sekitar yang sedang menyiapkan tesis!
Bagaimana menukar jarak penglihatan 6 kilometer kepada indeks pencemaran udara (API)? Jarak itu dikesan di Kuching pagi ini setelah terdapat kesan kebakaran tidak jauh dari bandar itu di Kalimantan.
Sementara jarak penglihatan di Kuala Lumpur pula 10 kilometer dan Pulau Pinang 9 kilometer.
Kami sudah tahu dari awal sebab pernah mengunjunginya dahulu. Mujurlah ada laman web [#1] Khidmat Kaji Cuaca Singapura [/#] yang cekap - mengemaskini perkembangan jerebu setiap satu jam.
Tetapi kerajaan Malaysia yang 'canggih' itu hanya mengambil cerapan pada jam 11 pagi di beberapa bandar utama. Singapura menggunakan PSI dan negara ini menggunakan [#2] jarak penglihatan [/#] - dua bacaan yang berbeza.
Kemudian, barulah kami tahu, rupa-rupanya PSI samalah dengan API. Tetapi apa makna PSI? Cari lagi dan akhirnya, maksudnya indeks piawai bahan cemar.
Tetapi walaupun selesai mencari kebodohan diri sendiri, kumpulan wartawan kami menemui kebodohan yang lain pula. Bagaimana jarak penglihatan boleh difahami melalui [#3] indeks API [/#] yang biasanya digunakan pada 1997?
Indeks ini penting difahami untuk menilai tahap kualiti udara yang disedut itu sama ada, "baik", "sederhana", "tidak menyihatkan" atau "sangat tidak menyihatkan."
Pakar yang kami hubungi dalam bidang kejuruteraan alam sekitar di sebuah universiti berada di luar negara pula.
Sementara pakar-pakar di JAS, seperti juga layanan yang saya terima beberapa bulan lalu, hanya berjaya memindahkan telefon daripada satu pegawai kepada satu pegawai kepada satu pegawai - dan kami ibarat kekasih yang setia menunggu dengan penuh dungu!
Ketika saya menulis tentang isu ini pada Rabu lalu, Sarawak tidak mempunyai kesan jerebu yang buruk. Tetapi hari ini jarak penglihatannya paling buruk, 6 kilometer, berbanding bandar-bandar utama yang lain.
Masa bergerak, jerebu bergerak mengikut semarak api dan haluan angin tetapi kecanggihan teknologi maklumat JAS [#4] http://www.jas.sains.my [/#] tidak berguna sekupang pun!
Sepanjang 11-16 Mei lalu, terdapat hampir [#5] 600 kawasan kebakaran [/#] dikesan di Sumatera dan Malaysia. Tanah gambut dan amalan pembakaran terbuka sering wujud di Sumatera dan Kalimantan, sementara angin dari arah barat daya membawa asap yang melemaskan ke Semenanjung dan Malaysia Timur tetapi kabinet memutuskan ia tidak perlu dihebahkan kerana bimbang merosakkan "industri pelancongan."
Mulai bulan ini hingga September, kita akan mengalami musim kering. Selalunya jumlah kebakaran (hotspots) dalam tempoh ini akan meningkat daripada 2,000 hingga lebih 4,000.
Kenapa [#6] JAS [/#] membisu?

