Rafidah Aziz patut rasa malu: Lo' Lo'
Dalam muktamar PAS 2 Jun lalu, Dr. LO' LO' mewakili suara lantang Muslimat mengkritik dan mengusulkan agar parti Islam yang kelihatan konservatif itu memilih calon wanita dalam pilihan raya akan datang. Berikut adalah bahagian kedua wawancara wartawan malaysiakini 'EIN AZMI di rumah beliau.
Bahagian ini menyentuh beberapa isu: pemilihan Ketua Wanita Umno yang baru, kerjasama Muslimat dengan wanita Barisan Alternatif, perubahan dalam Dewan Muslimat, sikap Nik Aziz terhadap wanita dan kritikan Lo' Lo' terhadap tempat duduk antara pemimpin lelaki dan wanita.
Bahagian 1: [#1] Calon wanita: Islam tidak larang[/#]
Malaysiakini: Apakah anggota Dewan Muslimat PAS turut dijemput dalam mesyuarat Majlis Syura? Sejauh mana harapan Dr. tentang kelulusan usul itu?
Lo' Lo': Kita mempunyai wakil Muslimat dalam majlis itu. Dalam masa yang sama, Muslimat juga giat menganjurkan konvensyen, seminar dan bengkel yang dapat membantu menyalurkan pendapat. Insya Allah pertengahan atau akhir Julai ini kita akan menganjurkan seminar berhubung penglibatan wanita Islam dalam politik.
Sebenarnya saya tidak ada satu harapan bahawa usul itu mesti diluluskan. Kita kemukakan usul secara rasional dan ada asasnya. Kemudian, kita berusaha dan bertawakal dengan Allah (sama ada lulus atau tidak). Kita terima keputusan itu sama ada ia mendatangkan kebaikan atau sebaliknya kepada Muslimat dan juga (perjuangan) Islam. Hanya Allah yang lebih mengetahui sesuatu perkara itu.
Walaupun apapun orang lain hendak kata, kita tidak peduli. Kita perlu berlapang dada.
Malaysiakini: Baru-baru ini, Dr mengkritik pemimpin PAS berhubung tempat duduk pemimpin wanita PAS dibandingkan dengan Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail - yang mendapat tempat utama dalam majlis-majlis anjuran PAS. Apakah luahan tidak puas hati ini atas sikap berat sebelah pimpinan PAS sendiri?
Lo' Lo': Sememangnya saya menimbulkan isu ini setelah ditanya berulang kali oleh rakan-rakan wanita Barisan Alternatif yang prihatin dan juga masyarakat di luar PAS bahawa wujudnya perbezaan yang tidak mampu saya jawab.
Pada mulanya saya mengambil sikap tidak kisah (tentang persoalan ini) kerana kami memang tidak biasa.
Banyak pihak mempersoalkan - adakah (berlaku perbezaan tempat duduk) kerana budaya PAS itu didominasi oleh kaum lelaki atau (langkah itu) mengikut hukum Islam?
Apabila media arus perdana mula memainkan isu, kita perlu positif dan terbuka. Apa kita boleh buat kerana sememangnya media arus perdana tidak bertanggungjawab. Jika kita seorang pemimpin yang matang, kita tidak akan goyah dengan isu yang dimain-mainkan oleh media ini.
Perkara ini nampak kecil tetapi saya melihat daripada isu ini bahawa terdapat ketelusan dan keterbukaan di pihak pimpinan PAS. Mereka boleh dikritik secara terbuka.
Media arus perdana juga pernah bertanya, adakah saya tidak takut kepada tekanan? Saya jelaskan bahawa jawatan yang saya terima merupakan amanah dari Allah dan sekiranya saya dipecat, amanah itu diberikan kepada orang lain pula. Saya boleh memberikan lebih tumpuan kepada anak-anak, misalnya.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang, juga memberitahu bahawa dari segi hukum Islam, tidak ada nas-nas yang menjelaskan lelaki dan perempuan tidak boleh duduk dalam satu tempat.
Cuma dalam soal-soal bermusafir, haji dan kedudukan saf dalam sembahyang, kedudukan lelaki dan wanita telah dinyatakan dengan jelas. Jawapan ini cukup baik.
Beliau memberikan hujah bahawa seafdal-afdal saf bagi lelaki adalah di depan dan seburuk-buruk saf (dalam sembahyang berjamaah) ialah di belakang. Sebaliknya, bagi perempuan seafdal-afdal saf adalah di belakang dan seburuk-buruk saf adalah di depan.
Sebenarnya banyak isu telah cuba dimainkan oleh media perdana bagi memburukkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin parti yang lain.
Mereka bukanlah maksum (tidak berdosa). Ada juga masanya mereka 'terlepas cakap', maka timbul isu. Sebenarnya Tuan Guru seorang yang flexible dan begitu prihatin terhadap wanita.
Beliau memberikan kemudahan cuti bersalin, atau melarang kerja pada waktu malam kerana wanita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar bersama keluarga.
Malaysiakini: Sepanjang penglibatan Dr bersama PAS, adakah terdapat peningkatan atau kekurangan tertentu dalam Dewan Muslimat?
Lo' Lo': Wanita yang berpengetahuan tinggi dan golongan profesional dari bidang agama dan bukan agama kini bersama Muslimat. Insya Allah sumbangan mereka dapat memberikan nafas baru .
Mereka menjalankan penyelidikan, berpengalaman dan terdedah kepada pelbagai perkara, maklumat dan teknologi baru. Mereka bersemangat dan mampu memberikan pendapat, peningkatan struktur organisasi, serta pengurusan gerak kerja yang lebih terancang dan sistematik.
Bagaimanapun, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Apatah lagi, dalam organisasi yang memerlukan khidmat sukarela. Sudah tentu wujud kelemahan, terutama masa wanita yang terhad.
Kami perlu memikirkan bagaimana hendak menggerakkan mereka agar memanfaatkan ruang yang sempit itu. Kita juga tidak mampu membayar gaji mereka. Mungkin Umno mampu membayar gaji wanita mereka.
Saya mahu PAS memberikan satu pengiktirafan, rangsangan, bantuan dan peluang agar Muslimat mampu keluar membantu parti. Ramai juga penyokong PAS yang memberikan pelbagai sumber bantuan kepada kita walau masih takut-takut.
Kita beri mereka peluang. Kalau tidak mahu menganggotai PAS, tidak mengapa tetapi berilah sumbangan dalam bentuk-bentuk yang lain sebab perjuangan membela nasib rakyat bukan untuk PAS tetapi untuk Malaysia.
Malaysiakini: Apa komen Dr terhadap pemilihan Datuk Seri Rafidah Aziz sebagai Ketua Wanita Umno baru-baru ini walau wujud dakwaan rasuah dan siasatan Badan Pencegah Rasuah ke atas beliau?
Lo' Lo': Saya sebenarnya tidak mahu mengulas panjang sangat berkenaan hal orang lain. Masih banyak yang perlu diperbaiki dalam PAS sendiri. Cuma, kita nampak trend dalam Umno - semakin banyak tuduhan (rasuah) terhadap seseorang pemimpin, semakin cepat dan tinggi jawatannya.
Wanita Umno memberikan kelebihan 12 undi kepada dan beliau sewajarnya berasa malu. Sebenarnya beliau tidak dikehendaki oleh separuh lagi wanita Umno. Kita pun tahu Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, mempunyai peranan yang penting menentukan siapa Ketua Wanita.
Rafidah tidak sepatutnya berasa bangga, khususnya tindakan beliau terhadap (bekas Ketua Wanita) Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan penyokong-penyokongnya. Sedangkan mereka sama-sama ahli Umno!
Malaysiakini: Bagaimana Dr. melihat perkembangan Dewan Muslimat kini - umumnya orang ramai melihat pergerakan Islam, terutama wanita bertudung, sebagai ortodoks dan konservatif?
Lo' Lo': Imej Muslimat PAS yang dulunya dikatakan begitu hostile dapati diatasi apabila wujud pergaulan dengan wanita-wanita BA daripada pelbagai latar belakang. Jika kami masih memikirkan perkara yang titik-bengik dan perbezaan, kita tidak akan ke mana-mana. Saya begitu tertarik dengan kata-kata Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor supaya kita mengenepikan perbezaan pendapat dan meneruskan usaha membuat satu reformasi.
Malaysiakini: Bagaimana kerjasama Muslimat dengan wanita-wanita BA? Sejauh mana hubungan baik Muslimat dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO)?
Lo' Lo': Kerjasama BA itu memanglah baik. Mereka juga memberikan sokongan dan kritikan kepada kita. Cuma dari segi bekerja bersama, mungkin kami tidak mempunyai cukup masa. Tetapi kita telah tegaskan akan bersama-sama dengan BA. Muslimat juga bekerjasama dengan NGO, misalnya dalam Gerak (Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia) yang ditubuhkan selepas krisis politik pada September 1998.
Malaysiakini: Apakah pandangan Dr. terhadap kecenderungan pengundi-pengundi wanita dalam pilihan raya yang lepas?

