Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mereka lebih buruk dari pekerja Bangladesh'
Diterbitkan:  Oct 26, 2014 2:41 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Penolong Pengarang Mingguan Malaysia Ku Seman Ku Hussain berkata segelintir pelajar dari sekolah jenis kebangsaan (SJK) lebih buruk penguasaan bahasa Melayu berbanding pekerja Bangladesh yang berjaya menguasainya dalam tempoh tiga bulan.

Dalam kolum Anekdot yang disiarkan dalam akhbar edisi mingguan hari ini, Ku Seman merujuk hasil kajian Prof Dr Teo Kok Seong yang mendapati 604 pelatih Cina dan India daripada 14,000 pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara pada 2010 tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

"Nisbahnya sangat besar dan inilah 'sumbangan' sekolah vernakular dalam konteks perpaduan yang kita laung-laungkan.

"Nampaknya puak 604 orang ini jauh lebih buruk daripada orang Bangladesh yang baru tiga bulan sudah boleh berbahasa Melayu," kata Ku Seman dipetik akhbar milik Umno itu hari ini.

Dalam tulisannya itu, Ku Seman mempertahankan cadangan "realistik" Timbalan Ketua Umno Petaling Jaya Utara Mohamad Azli Mohamed Saad yang mencadangkan supaya isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Umno bulan depan.

Beliau turut bersetuju cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang secara peribadi menyatakan bahawa sudah tiba masannya sekolah satu aliran diperkenalkan.

Dalam tulisan itu, Ku Seman berpendapat isu SJKC sudah lapuk kerana tidak ada ruang untuk dibahaskan di pentas intelektual sebaliknya dipenuhi dengan prejudis dan kepentingan politik.

"Sekolah vernakular yang terus wujud dan diberi bantuan kewangan adalah suatu yang sangat tidak masuk akal.

"SJKC menjadi pemangkin kepada sebahagian besar orang Cina yang memilih pengasingan atau mengasingkan diri daripada menerima sosio-budaya etnik Melayu.

"Pengasingan ini berlaku secara besar-besaran terutama apabila pengaruh politik Cina yang semakin besar pada pasca pilihan raya Umum ke-12.

"Malah parti politik Cina yang bertentangan ideologi boleh duduk semeja mempertahankan SJKC. Tidak adakah dalam kalangan pembuat dasar yang boleh membaca mesej ini?" kata Ku Seman dipetik.

Lihat Komen
ADS