Piket yang dirancang Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seluruh negara pada Sabtu ini ditangguhkan selama tiga bulan selepas kesatuan itu menerima jaminan daripada Perdana Menteri.

Dalam surat itu, Dr Mahathir Mohamad menyatakan kerajaan bersetuju untuk:

- menangguhkan skim anuiti yang diuruskan oleh syarikat insurans swasta sehingga kajian perunding disediakan

- menimbangkan agar faedah kematian dan hilang upaya yang diperkenalkan sekarang RM2,000 dikembalikan kepada asal RM30,000

- menentukan wang caruman KWSP dikendalikan tanpa menimbulkan apa-apa keraguan oleh mana-mana pihak.

Surat itu yang bertarikah 8 Mei ditujukan kepada Presidennya Senator Datuk Zainal Rampak.

Keputusan ini diumumkan dalam satu sidang akhbar di pejabat MTUC di Subang Jaya, Selangor selepas satu mesyuarat tergempar jawatankuasa kongres itu petang ini.

Menurut Zainal, penangguhan itu berkuatkuasa hari ini.

"Dalam tempoh tiga bulan ini, kita akan meneliti perkembangan isu-isu yang telah dibawa dalam memorandum kepada KWSP," katanya kepada wartawan.

Pada 27 April lalu, kongres itu menyerahkan memorandum, antara lain mempertikaikan keputusan kerajaan untuk menurunkan caruman pekerja kepada sembilan daripada 11 peratus sebelumnya, dan juga dividen enam peratus yang diberikan kepada pencarum KWSP tahun lalu, kadar yang terendah dalam tempoh 26 tahun.

Beliau juga berkata MTUC ingin 50 peratus kerusi dalam lembaga pengarah KWSP diwakili oleh golongan pekerja.

Zainal berkata perkembangan menarik setakat ini KWSP dan Kementerian Sumber Manusia telah bersetuju untuk mengembalikan faedah kematian dan hilang upaya kepada kadar asal.

Beliau juga berkata Setiausaha Agung MTUC G Rajasekaran akan mengutus surat kepada kumpulan wang simpanan itu bagi menetapkan tarikh bagi mengadakan perbincangan dengan perunding untuk mengkaji skim anuiti.

Ditanya cara-cara panel pelaburan KWSP boleh menjadi lebih bertanggungjawab kepada lembaga pengarah, Zainal berkata MTUC akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri pada 25 Jun depan.

Kongres itu juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa pemerhati yang terdiri daripada mereka yang tahu selok-belok perakaunan untuk mengawasi perjalanan akaun tabung simpanan tersebut.