Angin kencang rosakkan 13 rumah di Mergong
Sekurang-kurangnya 13 buah rumah di Taman Wira Mergong di Alor Setar mengalami kerosakan setelah dilanda angin kencang dan pusaran kecil puting beliung semalam.
Kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu berlaku hanya selepas dua hari kejadian puting beliung melanda lima kawasan di daerah Kota Setar.
Ketua Cawangan Blok E Taman Wira Mergong, Ahmad Ishak, 60, berkata ini merupakan kali ketiga kejadian seumpama itu berlaku dalam tempoh dua tahun sejak 2012 dan kejadian pertama tahun ini.
"Kejadian seperti ini pernah berlaku dua tahun lepas dan sama seperti sebelum ini, ia berlaku ketika cuaca cerah dan angin datang dalam tempoh yang sangat singkat. Tetapi saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.
"Kebanyakan rumah yang terlibat rosak di bahagian bumbung dan hanya tiga buah yang mengalami kerosakan teruk tetapi pelbagai pihak telah tampil menghulurkan bantuan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah melihat kerosakan yang dialami penduduk," katanya kepada pemberita di Alor Setar semalam.
Sementara itu, Adam Abdullah, 30, berkata semasa kejadian dia berada di luar rumah sedang menjemur pakaian sebelum mendengar bunyi angin kuat serta pusaran
puting beliung kecil datang dari arah bertentangan rumahnya.
"Saya tengah sidai baju. Selepas itu saya dengar bunyi angin kuat dan lihat ada bumbung rumah jiran yang diterbangkan angin dan angin kencang itu terus menghala ke kawasan rumah saya.
"Saya terus meluru masuk ke dalam rumah untuk menyuruh isteri dan anak yang berumur satu tahun lebih menyorok di bawah meja kerana bimbang akan berlaku kejadian seperti di Mergong dua hari lepas, tetapi saya bersyukur kerana ia tidak serius," katanya.
Jamilah Mard, 20, yang merupakan pelajar semester lima jurusan Perbankan di Kolej Universiti Insaniah berkata ketika kejadian dia bersama empat teman rumahnya sedang mengulang kaji pelajaran di ruang tamu sebelum mendengar angin kuat di bahagian dapur rumah mereka.
"Kami sedang mengulang kaji pelajaran sebelum mendengar bunyi angin kuat dan tiba-tiba sahaja bumbung di bahagian dapur dibawa angin. Kejadian berlaku sekelip mata...kami tak mampu berbuat apa-apa dan tergamam melihat bumbung diterbangkan angin satu persatu," katanya.
Jumaat lepas, 71 buah rumah dan sebuah klinik desa rosak dalam kejadian puting beliung yang berlaku pada jam 5 petang, melibatkan Kampung Mergong Hilir, Kampung Batin, Kampung Sungai Baru, Taman Inang dan Taman Mergong Jaya.
Sementara itu, kira-kira 50 buah rumah di 13 kampung di daerah Baling dinaiki air sedalam satu meter, berikutan hujan lebat awal pagi semalam.
Antara kampung terlibat adalah Kampung Nering, Kampung Pantai Teh, Kampung Haji Abas, Kampung Sungai Batu, Kampung Seberang Pekan, Kampung Kuala Kuda,
Kampung Bukit Sebelah, Kampung Siput, Kampung Banggol Derum, Kampung Dusun Raja, Kampung Lahar.
Jurucakap Polis Baling ketika dihubungi berkata ketika ini tiada penduduk yang dipindahkan tetapi pihak yang bertanggungjawab sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir besar.
"Langkah berjaga-jaga telah diambil oleh agensi berkaitan bagi menghadapi kemungkinan banjir besar sekiranya hujan lebat pada sebelah petang atau malam," katanya.
- Bernama

