Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn Bhd, sedia bertemu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo bagi membincangkan isu perumahan di negeri ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman juga mengalu-alukan kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk meluluskan Pelan Kebenaran Merancang oleh Perda dan JKP Sdn Bhd yang tidak melibatkan isu penempatan semula setinggan dan harga siling.

    

Beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi kelulusan segera bagi membolehkan agensi-agensi persekutuan memulakan projek pembinaan unit perumahan yang sudah lama tertangguh mengakibatkan kerugian disebabkan peningkatan kos.

"Diharapkan ketua menteri berniat baik dan ikhlas apabila menyatakan kerajaan negeri sedia meluluskan permohonan Perda dan JKP Sdn Bhd membina rumah kos rendah dan kos sederhana rendah berjumlah 2,447 unit," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zainal Abidin yakin kemelut yang berlaku dapat diselesaikan jika kerajaan negeri telus, ikhlas dan sedia memberi kerjasama dan sokongan kepada agensi persekutuan menyediakan rumah kepada rakyat yang memerlukan.

"Saya juga berharap ketua menteri akan memegang kata-kata beliau untuk berjumpa saya sekiranya kemelut ini tidak dapat diselesaikan melalui perjumpaan dengan Exco Perumahan," kata Zainal Abidin.

    

Dalam sidang media pada 31 Oktober lepas, Lim meminta Zainal Abidin berjumpa dengan Jagdeep untuk menyelesaikan isu permohonan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

    

Lim juga meminta Zainal Abidin menjelaskan istilah rumah mampu milik kerana didakwa ada rumah yang dijual pada harga RM1.85 juta dan menegaskan bahawa segala masalah berkaitan perumahan dapat diuruskan setelah bertemu Jagdeep.

    

- Bernama