Sekumpulan ahli parlimen PAS menyifatkan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap liberalisme dan pluralisme sebagai usaha "terburu-buru" dan "drastik" kerana dua perkataan itu tidak ditakrifkan dengan betul.

MP Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, MP Shah Alam Khalid Samad dan MP Sepang Hanipa Maidin berkata pihak berkuasa agama sepatutnya mengusahakan satu dialog untuk mengenalpasti maksud "pluralisme" dan "liberalisme" terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Dan juga fatwa tidak pernah dikelurkan terhadap seseorang secara spesifik. Fatwa-fatwa adalah bersifat umum. Jika ia spesifik, ia bukan sifat asalnya sebagai fatwa," katanya Dr Mujahid dalam sidang media bersama di lobi parlimen hari ini.

Mujahid merujuk fatwa itu yang secara khusus menamakan Sisters in Islam (SIS) kerana mempraktikkan pluralisme dan liberalisme.

Dalam kenyataan bersama, Dr Mujahid berkata mereka mengambil berat fatwa berhubung kedua-dua fahaman itu yang digazetkan oleh MAIS demi memelihara kemurnian makna Islam sebenar.

Bahkan, mereka juga yakin niat murni majlis itu dibuat setelah membuat pertimbangan yang sewajarnya kepada cabaran yang dihadapi oleh umat Islam kini.

Takrifan tak dijelaskan

Bagaimanapun, Dr Mujahid berkata pihaknya mahu penjelasan daripada MAIS berhubung fatwa itu antaranya mengenai takrifan liberalisme dan pluralisme yang "tidak dijelaskan".

"Adakah ia merujuk kepada menyatakan semua agama adalah sama ataukah merujuk kepada kepercayaan bahawa kebenaran itu adalah kebenaran relatif dalam membuat perbandingan antara agama.

"Adakah liberalisma dan pluralisma merujuk kepada kepercayaan semua aspek agama bersifat inklusif dalam hubungan antara agama ataukah inklusif dari sudut moral tetapi eksklusif dari sudut aqidah masing-masing?" soal Mujahid.

Selain bertanya sama ada MAIS telah berdialog dengan pihak yang didakwa mengamalkan fahaman itu, ahli jawatankuasa PAS itu turut mempersoal implikasi fatwa itu dalam hubungan antara agama dan membuka ruang untuk berbeza pandangan dalam lingkungan yang diizinkan.

"Kami memohon pihak pembuat fatwa tidak terburu-buru tanpa satu muzakarah dengan pihak yang dikatakan mengamalkan Pluralisma dan Liberalisma supaya ada ruang untuk dibetulkan salahfaham mereka (jika ada) melalui dialog dan persefahaman.

"Kami turut bersedia untuk membantu dan menyokong proses dialog dijalankan dengan pihak terlibat," katanya.