Salah faham, lelaki ditikam anak tiri
Seorang lelaki cedera parah setelah rusuk kanannya ditikam oleh dua anak tirinya dalam satu kejadian di kawasan perumahan Selesa Jaya, Nusajaya, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
Beliau berkata polis bertindak sebaik sahaja laporan dibuat oleh isteri mangsa kira-kira pukul 12.52 pagi dan kedua suspek itu ditahan di sekitar kawasan yang sama dengan tempat kejadian.
"Hasil soal siasat mendapati punca mereka (suspek) menikam mangsa adalah disebabkan oleh salah faham yang tercetus antara mereka semasa sedang minum minuman keras bersama di kawasan perumahan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya di Johor Bahru hari ini.
Susulan dari penahanan itu, polis turut merampas beberapa senjata yang digunakan untuk menikam mangsa, antaranya sebilah pisau berhulu hitam sepanjang 25 sentimeter dan sebatang besi yang panjangnya 110.5 sentimeter, katanya.
Kedua-dua suspek yang berumur 30 hingga 32 tahun itu kini ditahan reman sehingga 5 November.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
- Bernama

