Biro Pelajaran Pergerakan Pemuda Umno dan beberapa NGO membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew kerana mengeluarkan kenyataan mendakwa sekolah agama menjadi punca pemisahan kaum di negara ini.

    

Pengerusi biro itu Mohd Rafiq Naizamohideen berkata tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada perlu diambil ke atas Ling kerana menurutnya, dakwaan Ling (kiri) merupakan tindakan provokasi yang boleh mendatangkan kemarahan umat Islam di negara ini serta boleh mencetuskan ketegangan antara agama.

    

"Kenyataan yang mempertikaikan agama Islam juga jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkaitan isu tersebut di Balai Polis Bandar Hilir di Melaka semalam.

    

Selasa lepas Ling dilapor sebagai berkata bahawa tindakan sesetengah pihak memburuk-burukkan sekolah vernakular dengan menyatakan ia bersifat perkauman, perkara yang sama juga boleh dikenakan kepada sekolah agama.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pemuda Umno Negeri Sabah Mohd Bahrin Abdul Karim hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (kanan) di laman media sosial Facebook.

    

Menurutnya, dakwaan tersebut yang dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook Husnaidy Hussein dalam laman media sosial itu boleh mengganggu-gugat  ketenteraman rakyat khususnya di Sabah.

    

“Pemilik akaun Facebook itu mendakwa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan 40 dokumen pertuduhan terhadap Datuk Seri Musa mengenai pembalakan haram di Sabah, namun tiada siasatan dilakukan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail,” kata Mohd Bahrin kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu.

    

Laporan polis tersebut dibuat kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

    

Mohd Bahrin turut meminta agar polis menyiasat kes itu.

- Bernama