Exco ikrar tingkat kualiti, kemudahan Unisel
Exco Pendidikan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan negeri bawah pentadbiran menteri besar baru akan meningkatkan kualiti pendidikan di Selangor dan memberi keutamaan khususnya kepada Universiti Selangor (Unisel).
Selain membincangkan mengenai hala tuju pendidikan dalam majlis dialog 'Merefomasikan Pendidikan Selangor’ malam tadi, beliau juga mendengar masalah yang dihadapi mahasiswa di kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor dan di Shah Alam.
Antaranya berkaitan keselesaan kelas, tempat parkir yang tidak diturap, sistem portal pelajar yang didakwanya menghadapi masalah serta kemudahan lain yang masih belum diperbaiki sejak Unisel dibuka pada 1999.
“Saya sudah adakan beberapa siri pertemuan dengan pelbagai pihak yang ada di Unisel dan saya akan bawa perkara ini kepada menteri besar untuk berbincang tentang bagaimana memperbaiki Unisel,” katanya.
Bercakap di depan kira-kira 100 pelajar di Unisel Shah Alam, ADUN Seri Setia itu turut berkata masih banyak perlu dilakukan bagi mengangkat martabat kampus itu dan memperbetulkan "masalah legasi" yang ada.
“Sebab ada masalah legasi iaitu masalah yang dah lama dan ada beberapa perkara dah menjadi serius, jadi perkara ini memang dapat perhatian kerajaan negeri sebab pendidikan menjadi fokus menteri besar,” katanya.
Dalam dialog itu juga, Nik Nazmi menggesa mahasiswa Unisel supaya mengambil berat dan turut serta dalam hal kemasyarakatan kerana sebagai mahasiswa mereka perlu melihat perkara yang berlaku di luar.
Kebebasan akademik
“Seperti IPTA, mereka penuh dengan budaya mahasiswa. Tidak seperti IPTS kerana mereka ada sikap tidak kisah pada masyarakat dan sikap tidak ambil tahu. Itu tidak sewajarnya ada di kalangan mahasiswa Unisel.
“Mereka perlu ambil tahu apa yang mereka pelajari dan sebagai warga universiti mereka perlu lihat ke luar, lihat kepada suasana masyarakat,” katanya dalam dialog yang berlangsung lebih dua jam bermula 8.30 malam.
Sementara itu, pensyarah di Unisel, Dr Abdul Aziz Bari turut mengulas berkaitan kebebasan akademik termasuk isu ahli akademik yang ditahan kerana memberi pandangan mengikut kepakaran mereka.
Abdul Aziz yang juga pakar perlembagaan berkata di Unisel tiada masalah berkaitan kebebasan akademik tetapi mereka tidak mempraktikkannya dan menegaskan kebebasan akademik berbeza dengan demonstrasi.
“Contohnya, kes Azmi Shahrom di Universiti Malaya. Itu adalah kes kebebasan akademik.
“Apabila ahli akademik ditangkap, diugut, dipaksa kerana mengeluarkan pandangan yang dibuat berdasarkan kepakaran dia, itu bukan demonstrasi.
"Bagaimanapun demonstrasi (kerana ia) adalah hak sah sebagai rakyat mengikut perlembagaan,” katanya lagi.
Nadia Othman ada wartawan pelatih Malaysiakini.

