Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
APMM akan terima bot peronda dari Australia
Diterbitkan:  Nov 8, 2014 2:00 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Dua buah bot peronda terpakai yang akan diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari kerajaan Australia pada Mac tahun depan akan ditempatkan di perairan Selat Melaka bagi membanteras kegiatan penyeludupan manusia yang menjadikan perairan negara sebagai transit bagi mencari suaka ke Austalia.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata pada masa ini pegawai dan anggota APMM yang akan ditugaskan di kapal berkenaan sedang dalam persediaan untuk menjalani latihan di atas bot itu sebelum membawanya pulang ke tanah air tahun depan.

"Dua buah bot jenis 'Bay Class' itu dijangka tiba selewat-lewatnya Mac tahun depan iaitu sebelum Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) berlangsung sebab ia turut akan mengambil bahagian dalam pameran tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Upacara Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Penguatkuasaan APMM di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Kuantan hari ini.

Mohd Amdan dalam pada itu berkata sebagai strategi memantapkan lagi operasi APMM untuk mengawal perairan negara, enam buah kapal peronda kini sedang dibina di dermaga tempatan yang dijangka siap awal 2017.

"Kos pembuatan enam buah kapal sepanjang 43 meter setiap satu itu berjumlah RM385 juta," katanya.

Katanya enam buah bot itu adalah gantian kepada setiap enam buah dari 30 buah kapal APMM yang telah uzur yang dilupuskan secara berperingkat sehingga 2022.

Mengulas mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal tunda YTC M5 yang dilanggar sebuah kapal dagang, kira-kira 16.5 kilometer dari Tanjung Gelang, 30 Okt lalu, beliau berkata APMM kini sedang menunggu kapal yang karam itu diapungkan dari dasar laut bagi meneruskan operasi pencarian tiga lagi anak kapal yang belum ditemui hingga kini.

"APMM telah pun menamatkan operasi pencarian baki tiga lagi kru kapal tersebut di kawasan kejadian. Tetapi kita akan menunggu kapal tunda itu diangkat dari dasar laut, mungkin kru berkenaan tersangkut di dalam kapal yang karam itu," katanya.

Pada majlis itu seramai 189 pelatih menerima skrol masing-masing dan seterusnya menjalani latihan praktikal di laut selama empat bulan di semua Wilayah Maritim seluruh negara.

Turut hadir Pengarah Pendidikan dan Latihan AMSAS, Datuk Mohd Taha Ibrahim.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS