Cabaran sebenar terhadap golongan transgender, terutamanya yang beragama Islam, barangkali bukan kekangan undang-undang, tetapi pendirian masyarakat.

Ini kerana, walaupun keputusan terkini mahkamah dianggap mengiktiraf hak golongan itu, rata-rata orang Islam di Malaysia dilihat masih tidak dapat menerima kewujudan mereka.

Berdasarkan temubual rambang KiniTV di ibu negara baru-baru ini, orang ramai menolak penampilan transgender yang dirasakan tidak mengikut fitrah kejadian, yang dilahirkan sebagai lelaki atau perempuan.

Kesemua yang diwawancara enggan nama penuh mereka dinyatakan.

“Sebagai seorang Muslim kita kena berbalik kepada hukum syariah,” kata Izam ( atas ), seorang remaja yang berperwatakan ceria.

Sementara itu, Suraya ( kanan ) pula walaupun tidak bersetuju dengan fenomena itu, sedikit berlembut apabila berpendapat hanya golongan itu sahaja yang benar-benar memahami keadaan mereka.

“Tentunya perkara itu tidak OK. Tetapi ia bergantung kepada individu itu sendiri. Kita boleh bercakap tetapi hanya mereka tahu apa yang mereka rasa dan lalui.

“Jadi pada saya ia bergantung kepada diri mereka sendiri,” kata gadis muda itu.

Amaran 'tak berkat'

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 November memutuskan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam berpakaian wanita bercanggah dengan perlembagaan dan terbatal.

Ia secara tidak langsung mengiktiraf hak golongan transgender dan disambut gembira oleh aktivis dan golongan itu.

Tiga orang transgender pada 2012 mencabar kesahan seksyen itu dan memohon perintah mahkamah untuk menghalang penahanan dan pendakwaan ke atas mereka.

Sementara itu, seorang lelaki pula membangkitkan masalah “kekeliruan” yang berlaku dengan kewujudan golongan itu, seperti contoh panggilan untuk merujuk mereka, sama ada “abang atau kakak”.

“(Ada yang) bentuk tubuh badan dia sasa, tetapi dia berpakaian wanita. Jadi pelik. Dan bila kita nak panggil dia abang, nanti dia kata dia perempuan.

“Tetapi nak panggil panggilan perempuan takut dia cakap dia lelaki pula,” kata Shahrul ( atas ).

Sementara itu, menyentuh berhubung pembedahan pertukaran jantina yang dilakukan sesetengah golongan itu, Razwan memberi amaran bahawa mereka “tidak akan mendapat berkat”.

“Jika kita tengok, mereka boleh buat pembedahan di Thailand dan sebagainya.

"Tetapi walau mereka bekerja kuat mana pun, barakah itu tiada. Untuk dapat barakah kita ikutlah landasan Islam,” katanya.


NADIA OTHMAN seorang pelatih di Malaysiakini .