Nelayan Thai ditemui selamat, dua masih hilang
Empat nelayan Thailand yang dilapor hilang setelah bot mereka karam di kawasan laut antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang Rabu malam ditemui selamat petang semalam, bagaimanapun dua lagi awak-awak masih hilang.
Mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan pukul 6 petang semalam, berdekatan perairan Pulau Lang Tengah yang kemudiannya melaporkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Jeti Tok Bali, Kelantan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Kamsani Hassan ketika mengesahkan penemuan itu berkata mereka yang diselamatkan itu dikenali sebagai Suton, 36, yang juga merupakan tekong bot yang karam serta awak-awak mereka yang dikenali sebagai Sawat, 52, Chat Chai, 25, dan Chaiyut, 42.
Setakat ini lima nelayan warga Thailand itu ditemui selamat iaitu seorang lagi rakan mereka, ditemui pada malam Rabu lepas.
"Mereka yang masih hilang dikenali sebagai Chai, 38, dan Sat, 37, yang dipercayai terjatuh bersama lima rakannya yang lain ketika bot laut dalam berukuran 18.70 meter itu karam dipukul ombak besar," katanya kepada pemberita di Besut hari ini.
Kamsani berkata kesemua nelayan itu bekerja dengan pemilik bot tempatan, Mohd Safian Abdul Kadir, 34, dan tuan punya bot itu mengesahkan semalam, dua lagi awak-awaknya masih hilang.
Bot yang dibeli oleh Mohd Safian dengan harga RM280,000 pada 2012 itu bertolak dari Jeti Tok Bali kira-kira 10 malam Selasa lepas.
Ketika sedang menangkap ikan antara kawasan Pulau Perhentian dan Pulau Redang berdekatan Pulau Lang Tengah sehari berikutnya ombak besar membadai bot berkenaan hingga menyebabkan ia karam bersama-sama tujuh nelayan Thailand yang bekerja dalam bot berkenaan.
Kejadian itu diketahui selepas seorang daripada awak-awak bot nelayan itu berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan pada malam Rabu lepas.
Ekoran itu tuan punya bot yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Tumpat pada 7 petang kelmarin.
Kempat-empat nelayan yang berjaya diselamatkan itu dihantar ke Hospital Besut pagi ini untuk rawatan lanjut.
- Bernama

