Seorang ketua cawangan Umno di bahagian Marang ditumbuk sehingga pengsan selepas pemilihan ketua Umno cawangan itu selesai malam kelmarin.

Ketika diminta mengulas kejadian tersebut,Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Idris Jusoh hari ini, memberi amaran keras kepada semua ahli parti agar tidak menimbulkan perkara negatif menjelang mesyuarat pemilihan Umno bahagian bulan depan.

Idris, yang juga Menteri Besar, berkata beliau akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut dan memberi jaminan tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Semalam, mesyuarat Umno cawangan Kampung Hutan Ketiau, Sungai Batu Pahat di Kangar Perlis, juga kecoh apabila berlaku pergaduhan sehingga mengakibatkan empat ahli Umno, termasukseorang wanita cedera.

"Memalukan... saya rasa malu jika ini (gengsterisme) berlaku di kalangan ahli Umno," kata Idris kepada pemberita selepas majlis pelancaran pentauliahan Loji Air Kepong Peringkat II di Kuala Terengganu hari ini.

Tidak puas hati

Katanya, beliau tidak akan berkompromi kerana ia akan membawa imej yang buruk terhadap parti dan kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional (BN).

Menurut Bernama , Idris berkata Umno tidak memerlukan ahli yang bertindak seperti gengster kerana parti itu mempunyai kaedah sendiri dalam menyelesaikan masalah atau rasa tidak puas hati.

"Saya akan mengambil tindakan yang tegas termasuk merujuknya kepada Jawatankuasa Disiplin parti kerana kita tidak mahu anasir-anasir yang memalukan ini terus berlaku dalam parti kita," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian di Kangar itu, kekecohan dikatakan berlaku ketika mesyuarat tersebut hampir selesai apabila sekumpulan lelaki menyerbu masuk ke dalam dewan kerana tidak puashati apabila nama mereka tidak ada dalam senarai.

Kesemua mereka yang cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kangar selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah berkenaan.

Manakala ketua Umno cawangan tersebut, Bedah Omar dilaporkan mendakwa kumpulan lelaki yang menimbul kekecohan itu adalah dari cawangan lain.