Timbalan Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr CHANDRA MUZAFFAR, akhir-akhir ini menjadi sasaran utama kritikan laman-laman web tetapi jarang sekali beliau berpeluang bersuara menjelaskannya. Malaysiakini menerbitkan sedutan wawancara panjang bekas editor Detik , AHMAD LUTFI OTHMAN dengan beliau baru-baru ini.

Lutfi: Sekurang-kurangnya dua insiden tercetus baru-baru ini. Pertama, mengenai laman web dan kedua, beberapa pemimpin KeADILan keluar parti menjelang pilihan raya Telok Kemang. Boleh jelaskan gejala yang melanda KeADILan kini?

Chandra: Kita harus membezakan dua peristiwa ini kerana faktor yang menyebabkannya berbeza. Pertama mengenai kempen laman web. Saya berpendapat mereka yang terlibat dalam kempen ini adalah segelintir anggota dalam parti, yang mungkin bekerjasama dengan pihak lain.

Kalau kita lihat pemilihan masa, sudah tentu ia tidak menguntungkan KeADILan. Waktunya hampir dengan pilihan raya. Saya tertanya-tanya kenapa mereka memilih waktu itu untuk melancarkan kempen. Ia merugikan parti.

Mungkin mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu, atau ada sebab-sebab lain. Kita harus mengkaji kenapa mereka memulakan kempen ini terhadap saya. Bagi saya, mengkritik saya atau mengkritik gaya kepimpinan saya atau idea-idea saya adalah perkara biasa.

Saya sudah biasa dengan kritikan. Saya lama dalam NGO dan sudah biasa dengan budaya kritikan.

Cuma, saya tidak terima ialah usaha untuk menjatuhkan pemimpin - sama ada saya ataupun orang lain - melalui cara yang bertentangan dengan lunas-lunas demokrasi. Kita dipilih melalui cara demokratik.

Kalau kita hendak digulingkan atau diketepikan, kita harus melalui proses demokrasi. Ada caranya - bukan melalui laman web.

Caranya melalui parti. Jika kita tidak berpuas hati, kita cuba buat perubahan. Mungkin di perhimpunan agung parti. Itulah caranya untuk menukar pemimpin.

Kedua, saya tidak setuju apa yang dilakukan pengendali laman web. Saya pun tidak mengetahui siapa yang terlibat, hinggalah saat ini. Kalau kita hendak melakukan sesuatu, kita tidak harus berbohong.

Saya tidak pernah berkata bahawa "apa yang Anwar (Ibrahim) tahu kerana dia di dalam penjara". Orang kenal cara saya bercakap. Cara saya jauh berbeza. Insiden itu tidak pernah berlaku.

Saya bukanlah seorang manusia yang melakukan sesuatu, kemudian saya menafikan. Itu bukan cara saya. Kata-kata itu tidak pernah saya lafazkan.

Tapi kalau tentang taksub kepada pemimpin, itu saya akui. Saya secara terbuka dan mengulanginya prinsip saya. Saya tidak mahu sesiapa pun taksub kepada pemimpin, tidak kira pemimpin itu siapa. Seperti yang saya selalu katakan secara direct, saya bukan hamba Anwar, bukan hamba Wan Azizah, bukan hamba sesiapa, tapi saya adalah hamba Allah.

Kita mendirikan sebuah parti baru dengan matlamat politik baru. Kalau kita menggalakkan orientasi ini dalam parti - taksub kepada pemimpin tertentu - bermakna kita tidak jujur dalam politik baru kita.

Kalau kita jujur, kita tidak harus menggalakkan sikap ini. Kalau kita nampak benih-benih ini, kita harus memastikan ia tidak tumbuh.

Saya akhiri ulasan tentang perkara ini dengan harapan, tidak kira sama ada laman web, saluran internet atau media cetak, prinsip utama bagi saya (dari segi penyampaian berita atau maklumat), kita mesti berpegang kepada kebenaran.

Bermakna kita mesti mengkaji fakta-fakta, dan sekiranya kita menyampaikan pendapat, kita harus berhati-hati.

Kita mengkritik akhbar-akhbar arus perdana kerana mereka membohongi fakta-fakta tertentu. Mereka cuba menyembunyikan sesuatu dan tidak menyiarkan maklumat alternatif.

Lutfi: Harus diakui sumbangan laman web, terutamanya pada peringkat awal penubuhan KeADILan, kerana kita tidak ada media yang boleh menyiarkan berita-berita mengenai reformasi. Namun, bagaimana KeADILan nampak begitu dekat dengan laman web yang tidak diketahui siapa pengendalinya, dan juga sering kali laman itu menyiarkan maklumat yang bercanggah dengan strategi dan kepentingan parti.

Misalnya isu gereja di Shah Alam dan beberapa isu yang dibesar-besarkan yang boleh membebankan KeADILan. Tetapi tidak nampak ada suara yang jelas daripada kepimpinan KeADILan untuk menjarakkan laman ini daripada parti.

Chandra: Satu soalan yang bagus. Pada hemat saya, anda ada masalah memahami asal-usul pergerakan reformasi dan Parti Keadilan Nasional. Kita merupakan suatu pergerakan sosial yang wujud akibat daripada peristiwa tertentu - ada bermacam-macam dimensi, golongan, kumpulam, kelompok dan kabilah dalam pergerakan sosial ini.

Ada yang aktif dalam demonstrasi jalanan, dan ada pula yang terlibat dalam pembentukan ADIL (Pergerakan Keadilan Sosial) sebagai badan bukan kerajaan dulu.

Dalam parti pula, ada beberapa kumpulan. Ada yang mempunyai latar belakang gerakan Islam seperti JIM dan ABIM; ada yang bergerak dalam Parti Melayu Semangat 46, Umno dan juga badan bukan kerajaan (NGO). Ada pelbagai pergerakan sosial.

Apabila parti ditubuh, ada struktur tertentu. Tetapi kumpulan-kumpulan lain terus juga bergerak. Itu hak mereka.

Ada pihak yang mengendalikan laman web, ada yang menggunakan media bercetak dan sebagainya untuk meneruskan perjuangan. Dan ada juga yang menyertai parti lain.

Pada dasarnya mereka masih mendukung perjuangan yang sama. Tidak ada usaha daripada pihak kepimpinan parti untuk mengawal mereka.

Saya sendiri berpendapat (mengawal) itu bukan hak kita. Mereka boleh bergerak atas daya usaha mereka sendiri. Kalau mereka berpendapat sesuatu isu itu penting dan mereka berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu tertentu, itu hak mereka.

Sebagai mana saya katakan tadi, tentang isu maklumat dan berita, kita mesti berpegang kepada lunas-lunas kebenaran. Begitu juga dalam soal ini. Kalau kita lihat sesuatu isu, kita harus kaji apakah asal-usul isu itu, dan kenapa isu itu penting, sebelum kita menyampaikannya.

Macam isu gereja di Shah Alam - adakah kita benar-benar berpegang pada fakta, atau kita membesarkan sesuatu? Ini melibatkan soal tanggungjawab dan etika kewartawanan.