Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, umur anggota Pemuda Umno tidak akan diturunkan kepada 30 tahun buat masa ini.
Katanya, cadangan untuk menurunkan umur belia, yang kini antara 15 hingga 40 tahun, hanya terhad kepada persatuan setakat ini.
“Tidak, ini hanya untuk persatuan saja, buat masa ini tidak (untuk Umno),” kata Khairy dalam sidang media selepas melancarkan acara Le Tour de Langkawi 2015 di Putrajaya hari ini.
Draf Dasar Belia Malaysia (DBM) baru yang akan dibentangkan pada awal tahun hadapan mengusulkan pindaan takrifan umur belia diturunkan kepada 15 hingga 30 tahun.
Khairy dalam sidang media pada Isnin berkata, perubahan itu bertujuan memberi peluang kepada generasi bawah 30 tahun menerajui kepimpinan.
Sementara itu, ditanya tentang kebanyakan kesediaan persatuan belia dengan cadangan itu, Khairy berkata pihak persatuan akan diberi masa tiga tahun untuk melaksanakannya.
“Kita hanya akan melaksanakan dasar ini pada tahun 2018. Kita beri tempoh masa tiga tahun kepada persatuan belia untuk buat persediaan terhadap takrifan baru ini,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda PKR (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan Khairy sama ada sayap Pemuda Umno bercadang menurunkan had umur ahlinya kepada 30 tahun ke bawah.
Katanya, AMK telah menurunkan had usia bagi pemegang jawatan dan anggota dalam sayap parti itu kepada 35 tahun bermula pemilihan parti itu tahun ini.
