Pihak berkuasa negeri di seluruh negara digesa supaya mengkaji semula larangan ke atas bukan Islam menggunakan perkataan tertentu yang berkaitan dengan Islam.
 
Presiden bersama NGO Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) , Gan Ping Sieu percaya larangan itu "tidak produktif" dalam sesebuah masyarakat majmuk.
 
Bekas timbalan menteri itu berkata sudah tiba masanya pihak berkuasa negeri mengkaji semula larangan bukan Islam menggunakan perkataan yang berkaitan dengan Islam.
 
Beliau yang juga bekas naib presiden MCA berkata, larangan tersebut sepatutnya hanya terhad untuk mengekang percubaan memurtadkan orang Islam atau niat lain seperti orang bukan Islam memanggil dirinya 'haji' atau merujuk kepada tempat ibadat sebagai 'masjid'.
 
"Kami menghormati Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri yang melarang usaha menyebarkan agama lain kepada orang Islam," katanya.
 
Beliau membuat komen itu selepas kerajaan Kedah meminda undang-undang negeri baru-baru ini untuk meningkatkan jumlah perkataan yang bukan Islam dilarang menggunakannya, daripada 24 kepada 55.
 
Di Selangor, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan pengembangan di kalangan orang Islam) 1988 yang diluluskan oleh kerajaan negeri ketika pentadbiran BN melarang orang bukan Islam di ne geri itu menggunakan 35 perkataan Arab dan frasa yang digunakan in Islam, termasuk "Allah".
 
Menurut Gan, larangan itu hanya membina lebih banyak halangan antara kumpulan etnik yang berbeza di negara ini.
 
Larangan itu, tambahnya, akan terus mewujudkan halangan untuk orang bukan Islam mempunyai akses pembelajaran dan pemahaman yang lebih baik mengenai Islam.
 
Sepatutnya, kata beliau, tidak ada kumpulan yang mempunyai monopoli ke atas penggunaan perkataan dalam mana-mana bahasa.
 
"Bagaimana lagi boleh bukan Islam berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia tanpa menggunakan kata-kata umum seperti 'syariah', 'masjid', 'surau', 'ulama', 'Quran', 'haji', dan 'solat'?" soalnya.
 
Bagaimana pula, katanya, dengan orang bukan Islam di negeri-negeri di mana lagu negeri mengandungi perkataan 'Allah'.