Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mulai hari ini.

Menurut kenyataan SPNB hari ini, perlantikan Tengku Adnan yang juga ahli Parlimen Putrajaya adalah untuk tempoh dua tahun sehingga tahun 2006.

Menurutnya lagi, Ahli Lembaga Pengarah SPNB juga bersetuju Datuk Mohd Zaihan Mohd Zain, Pengarah Urusan SPNB sekarang, kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPNB.

Tengku Adnan dilantik ke jawatan tersebut bagi menggantikan Datuk Zahid Hamid yang kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan selepas memenangi kerusi Parlimen Bagan Datoh dalam pilihanraya umum yang lalu.

Tengku Adnan juga merupakan pengerusi badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan juga ketua penaja Umno bahagian Putrajaya.

Beliau juga pernah menyandang jawatan setiausaha kerja Umno sebelum melepaskannya sebelum pilihanraya umum yang lalu.