Cawangan-cawangan di lapan daripada 14 bahagian Umno di Kelantan diberi tempoh sehingga Sabtu ini untuk menghabiskan mesyuarat masing-masing yang sepatutnya tamat semalam.

Ini berikutan mesyuarat dicawangan-cawangan terbabit dilaporkan menghadapi masalah dan setelah merujuk kepada Jawatankuasa Pemantau Umno Kelantan, mereka diarahkan bermesyuarat semula.

"Kelantan sudah terlewat sebenarnya tetapi kita berharap semua masalah akan selesai bagi membolehkan mesyuarat peringkat bahagian dijalankan segera," kata laporan Bernama ayng memetik Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mat Nawawi Mat Jusoh.

Manakala cawangan-cawangan di enam lagi bahagian sudah selesai mesyuarat di mana kesemua penyandang jawatan ketua Umno, diisytihar menang tanpa bertanding.

Mereka ialah Datuk Mustapa Mohamed (Jeli), Datuk Annuar Musa (Ketereh), Datuk Noor Zahidi Omar (Tumpat), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Ramzi Abdul Rahman (Kuala Krai) dan Datuk Dr Awang Adek Hussin (Bachok).

"Kita sahkan mereka menang tanpa bertanding dan mengekalkan jawatan masing-masing," kata Mat Nawawi dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Jangan ghairah

Mat Nawawi berkata lapan bahagian lain diberi tempoh sehingga Sabtu ini untuk menghabiskan perjalanan mesyuarat di peringkat cawangan.

Beliau berkata Badan Perhubungan meminta mana-mana ketua Umno bahagian lain, tidak terlalu ghairah mengumumkan mereka telah menang tetapi sebaiknya tunggu sehingga mesyuarat cawangan selesai.

Menurutnya, jawatankuasa pemantau yang dipengerusikan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Hassan Harun telah berjaya menangani kebanyakan aduan dan semua pihak berpuas-hati dengan peranan jawatankuasa itu.

"Aduan yang diterima kebanyakan yang kecil sahaja dan masalahnya tidak besar serta keputusan dapat dibuat segera," katanya.

Menurutnya lagi, badan perhubungan juga berpuas-hati dengan perjalanan mesyuarat di semua peringkat cawangan walaupun berlaku beberapa insiden kecil seperti pergaduhan.

Sementara itu, badan perhubungan mengesahkan pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden Umno dan juga tidak menghalang timbalannya, Datuk Zaid Ibrahim ( kanan ) untuk bertanding bagi jawatan yang sama.

Mesyuarat khas

"Badan Perhubungan Umno Kelantan tidak ada masalah dan terpulang kepada Datuk Zaid untuk bertanding atau sebaliknya," katanya.

Menurut Mat Nawawi, bendahari badan perhubungan itu, Dr Awang turut menawarkan diri bertanding jawatan ahli MT manakala Annuar Musa dan Hassan akan mempertahankan jawatan MT masing-masing.

Katanya, kesemua keputusan persetujuan mengenai perkara itu dibuat dalam mesyuarat khas badan perhubungan itu pada 23 Jun lalu.

Awang Adek yang ditemui pemberita berkata keputusannya untuk bertanding adalah didorong untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada parti dan negara.

"Saya mempunyai pengalaman luas dalam ekonomi negara ketika memegang jawatan Timbalan Gabenor Bank Negara serta pernah menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Berhad dan pengalaman ini boleh saya gunakan untuk membangun parti dan negara," kata Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah itu.