Parti KeADILan Nasional hari ini mengalu-alukan usul penggabungan yang diluluskan Parti Rakyat Malaysia hujung minggu lalu dan menggesa perwakilan parti itu menimbangkan "kebijaksanaan" PRM itu bagi mengukuhkan lagi barisan pembangkang.

Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail dalam ucapan dasar parti itu pagi ini berkata partinya akan mengukuhkan iltizam untuk bersama Barisan Alternatif sebagai memberikan alternatif sebenar Barisan Nasional.

"Senario (kekuatan BA) inilah yang amat dikhuatiri oleh Barisan Nasional," katanya di depan 800 perwakilan, pemerhati dan tetamu jemputan.

"Kerjasama yang erat antara empat buah parti inilah yang membawa kita kini kepada suatu keadaan di mana kemungkinan wujud sistem dua parti."

Cadangan sistem dua parti disuarakan oleh Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, baru-baru ini ketika menghadiri satu persidangan di Australia.

Isteri bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu juga mengiktiraf KeADILan bermula daripada gerakan politik yang tercetus sebelum penubuhan parti itu pada 4 April.

"Agenda perjuangan (KeADILan) adalah kesinambungan dari idealisme kita yang diolah sebelumnya meskipun tidak di atas nama parti KeADILan," katanya, dipercayai merujuk krisis politik selepas pemecatan dan pemenjaraan suaminya dan siri demonstrasi jalanan selama hampir tiga bulan mulai September 1998.

Beliau menyarankan pemimpin parti itu agar menggunakan kebijaksanaan dan kesabaran untuk mengendali kepentingan pelbagai kelompok dan khalayak yang luas, termasuk "aktivis yang tidak dikenal pasti tetapi menyokong agenda perjuangan."

Aktivis ini dipercayai pengendali-pengendali laman web proreformasi yang sering menyiarkan pandangan KeADILan, menyokong Anwar dan menyerang kepimpinan negara. Bagaimana lima laman web itu baru-baru ini mendesak dua pemimpin kanan KeADILan melepaskan jawatan.

Azizah juga menjelaskan kemelut politik negara hari ini berpunca daripada pemerintah oligarki yang membenarkan kabinet menguasai badan perundangan dan institusi-institusi lain, "bukannya pemerintah autokratik seorang individu."

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, didakwa memimpin negara secara autokrasi dan penyokong pembangkang sering mendesak perletakan jawatan beliau sebagai slogan penyelesaian politik.

Azizah tidak lupa menyebut nasib suaminya yang kini menjalani hukuman enam tahun penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

"Anwar Ibrahim masih merengkok dalam penjara. Perjuangan dan pengorbanannya tidak sia-sia kerana telah membantu merangsang dan menyemarakkan ledakan reformasi," katanya.

Dalam ucapan selama lebih 30 minit itu, beliau juga mengecam sikap media massa arus perdana yang menggambarkan parti itu dan BA seolah-olah bersengketa.

Semalam, ketika persidangan Wanita dan Pemuda, poster-poster memboikot Utusan Malaysia, TV3 dan New Straits Times ditampal di dinding.

Ketua Pemuda, Mohamad Ezam Mohd Nor, dalam ucapannya semalam juga mengambil sikap yang sama.