Berikutan penyerahan rasmi kedaulatan kepada Iraq di tengah-tengah keganasan meningkat, nama Tun Dr Mahathir Mohamad tiba-tiba muncul dalam media Arab -- sebagai pemimpin yang cukup layak menerajui negara Islam yang dilanda kemelut dan perpecahan itu untuk menempa demokrasi, kestabilan dan kemakmuran.

"Jika hasrat Iraq adalah untuk mencari kestabilan, kemakmuran dan demokrasi, siapa lagi yang lebih baik daripada bekas Perdana Menteri Malaysia (Dr) Mahathir Mohamad, yang memimpin selama 22 tahun sebuah negara Islam paling stabil, makmur dan demokratik pada hari ini?" kata penulis Todd Crowell dalam komentari yang diterbitkan oleh Knight Ridder Tribune dan disiarkan oleh Bahrain Tribune Rabu lalu.

Mengikut laporan Bernama dari Doha, Crowell menggariskan bagaimana Dr Mahathir berjaya mengubah sebuah negara, yang bergantung kepada hasil getah dan kelapa sawit, kepada sebuah kuasa serantau yang berteknologi tinggi, cekap dalam pembuatan dan kewangan serta berjaya mentadbirkan negara yang berbelah bagi, seperti Iraq, dari segi kaum, bangsa dan agama.

"Beliau telah melaksanakan program tindakan yang telah melahirkan sejumlah besar golongan pertengahan, satu intipati untuk demokrasi, tanpa meminggirkan kaum minoriti," kata Crowell yang pernah bertugas sebagai penulis kanan di majalah Asiaweek.

"Model politik Malaysia menawarkan pengajaran untuk pembinaan demokrasi di Iraq," katanya, sambil menegaskan bagaimana golongan fundamentalis Islam sedia menerima peraturan pilihanraya di Malaysia bagi menegakkan impian membina sebuah negara Islam.

Sokongan

"Pada masa sama, (Dr) Mahathir tidak teragak-agak membanteras puak ganas Islam ...dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang membolehkan penahanan tanpa bicara demi keselamatan negara," tegasnya.

Crowel mendapati Dr Mahathir memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Palestin untuk sekian lama dan ini akan membolehkan beliau diterima baik oleh kebanyakan rakyat Iraq, jika tidak kepada golongan konservatif di Washington.

"Mahathir menawarkan peluang untuk peralihan efektif dari pendudukan Amerika Syarikat kepada kedaulatan Iraq yang tulen yang dipengerusikan oleh seorang pengurus Islam yang bebas tetapi dihormati dan berpengalaman tanpa menjadi boneka sesiapa -- sudah tentu bukan boneka negara asing.

"Iraq boleh menjadi sebuah negara berdaulat sepenuhnya di bawah kepimpinan sementara seorang tokoh Islam asing, lebih baik daripada mana-mana pemimpin sementara Iraq yang difikirkan sekarang," katanya.

Isnin lalu, Amerika Syarikat secara rasmi menyerahkan kedaulatan Iraq kepada sebuah kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri Iyad Allawi, dua hari lebih awal dari yang dijadualkan, sebagai langkah itu untuk menghalang sebarang rancangan gerila untuk mensabotaj peralihan kuasa itu.

Dokumen undang-undang berhubung peralihan kuasa diserahkan oleh Ketua Pentadbir Awam Amerika Syarikat Paul Bremer kepada Iyad dalam satu majlis sederhana di Baghdad, sebelum beliau meninggalkan negara itu

Penyerahan itu menandakan pencerobohan kuasa asing selama 14 bulan berakhir dengan rasminya.