BERITA Malaysiakini

PM diramal umum tak jadi hapus akta hasutan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berubah fikiran setelah berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 sebelum ini, kata bekas anggota kabinet Tan Sri Zainuddin Maidin.

Zainuddin ( bawah ) yang juga bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu berkata, pengumuman rasmi berhubung perkara itu akan dibuat esok.

“Bagaimanapun Najib tidak akan mengembalikan ISA ( Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang dihapuskannya, yang disifatkan oleh mantan ketua hakim negara Tun Abd Hamid Mohamad sebagai perbuatan bodoh,” katanya.

Menulis dalam blognya hari ini, Zainuddin berkata, Najib membuat keputusan itu berikutan bantahan dan tekanan yang semakin kuat dan keras daripada dalam Umno menjelang perhimpunan agung parti itu esok.

Ia, katanya, dibuat dengan mengambil kira hasrat Umno bahagian-bahagian di seluruh negara yang kini nekad untuk menentang hasrat itu.

Malah, tambahnya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam ucapannya kepada perwakilan Pemuda memberi amaran Malaysia akan hancur tanpa akta itu dan ia disokong kuat Wanita Umno.