Puteri Umno negeri tidak sehaluan untuk pilih ketua baru
Pergerakan Puteri Umno Kedah mahukan pencalonan bagi setiap jawatan tertinggi dalam pemilihan pucuk pimpinan pergerakan itu September depan ditentukan oleh ahli pergerakan di peringkat bahagian.
Pergerakan Puteri Umno Kedah mahukan pencalonan bagi setiap jawatan tertinggi dalam pemilihan pucuk pimpinan pergerakan itu September depan ditentukan oleh ahli pergerakan di peringkat bahagian.
Bagaimanapun, Puteri Umno Pulau Pinang hari ini secara terbuka menyuarakan sokongan penuh kepada naib ketua Puteri Umno kebangsaan, Noraini Ahmad, untuk menerajui pergerakan itu pada pemilihan parti bulan September ini.
Jawatan tersebut kosong selepas ketua pergerakan itu sekarang Datuk Azalina Othman terpaksa melepaskan jawatannya melebihi had umur yang ditetapkan.
Menurut Bernama , bendahari Pergerakan Puteri Umno Kedah, Maizatul Akmam Othman menggesa pemimpin Puteri di peringkat negeri tidak lagi mengeluarkan kenyataan menyokong calon-calon tertentu.
"Sebabnya mereka tidak ada kapasiti untuk berbuat demikian kerana soal pencalonan terserah pada mesyuarat Puteri Umno bahagian...kita serahkan kepada mereka menentukan perkara itu, bukan pemimpin negeri.
"Kita mahukan proses demokrasi dalam Puteri Umno lebih sihat," katanya di Kuala Terengganu hari ini ketika mengulas langkah beberapa pemimpin Puteri Umno negeri mengumumkan sokongan kepada individu tertentu bertanding jawatan tertinggi pergerakan itu September depan.
Maizatul yang juga ketua Puteri Umno bahagian Sik berkata ahli pergerakan itu di peringkat bahagian perlu diberikan hak mereka dalam menentukan calon yang dianggap sesuai.
"(Pemimpin Puteri) negeri tidak boleh mendahului bahagian sebab hanya bahagian yang ada kuasa untuk mencalonkan seseorang,"tambahnya.
Pencalonan
Menurut Maizatul lagi, Puteri Kedah sendiri tidak membuat pendirian atau mengumumkan siapakah yang akan dicalonkan untuk bertanding di peringkat pusat itu kelak.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Pulau Pinang, Azlina Mehtab Mohd Ishaq berkata sokongan terhadap Noraini adalah untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan kerana beliau adalah orang yang paling layak memegang jawatan tertinggi dalam pergerakan itu.
"Kebolehan, ketelusan dan keterampilan Noraini selama ini telah membimbing kaum wanita muda menjadi tunggak perjuangan bangsa," katanya ketika dihubungi
Bernama
.
Menurutnya lagi, pergerakan itu juga menyokong ketuanya sekarang Datuk Azalina Othman Said bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) selepas melepaskan jawatannya menjelang pemilihan parti ini kerana faktor had usia.
Katanya, kebolehan dan kepimpinan Azalina telah terbukti semasa dia menerajui pergerakan Puteri Umno dan adalah wajar baginya untuk meneruskan kepimpinannya itu dengan memegang jawatan dalam MT pula.
"Puteri Umno Pulau Pinang yakin dengan kemampuan Azalina sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Belia dan Sukan dapat memberi sumbangan yang amat bermakna jika terpilih dalam barisan kepimpinan MT kelak," katanya.
Azalina yang terpaksa melepaskan jawatannya pada pemilihan akan datang baru-baru ini dipetik sebagai berkata beliau akan menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan MT pada pemilihan September ini.
Jawatan yang dikosongkan oleh Azalina itu pula dijangka akan ditandingi oleh naibnya Noraini dan Ketua Puteri Umno Kedah, Suraya Yaakob.

