Mahkamah tolak petisyen pilihanraya Parlimen Sik
Mahkamah Pilihanraya di sini hari ini menolak dengan kos permohonan seorang ahli PAS yang memohon tafahus (pemeriksaan semula) bagi pengundian kawasan parlimen Sik dalam pilihanraya umum Mac lalu.
Mahkamah Pilihanraya di sini hari ini menolak dengan kos permohonan seorang ahli PAS yang memohon tafahus (pemeriksaan semula) bagi pengundian kawasan parlimen Sik dalam pilihanraya umum Mac lalu.
Hakim Datuk Mohamed Noor Abdullah berkata beliau mendapati petisyen yang dikemukakan Muhammad Sanusi Mohamed Nor itu tidak teratur, tidak menggunakan prosedur petisyen yang betul dan cacat kerana pempetisyen tidak menyatakan beliau memohon bagi pihak calon PAS (yang bertanding bagi kawasan itu).
"Dalam kes ini pempetisyen sepatutnya memohon mahkamah mengisytiharkan pilihanraya kawasan itu tidak sah atau mengisytiharkan calon PAS yang kalah itu, sebagai pemenang kerana wujudnya angka (jumlah undi) yang meragukan.
"Tetapi beliau tidak membuat permohonan berkenaan sebaliknya hanya memohon tafahus," katanya semasa menyampaikan keputusannya di mahkamah.
Menurut
Bernama
, Muhammad Sanusi, 30, merupakan wakil calon PAS, Azizan Abdul Razak (
gambar
) yang bertanding bagi kerusi parlimen Sik itu dan beliau memohon tafahus pengundian bagi kawasan parlimen berkenaan untuk menentukan jumlah sebenar undi yang diperolehi calon, serta memohon kos dan relif lain.
Muhammad Sanusi, yang bekerja sendiri, memfailkan petisyen terhadap Pegawai Pengurus Pilihanraya Sik, Hashim Ismail (responden pertama), Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (responden kedua) dan calon BN bagi kawasan parlimen berkenaan Datuk Dr Wan Azmi Wan Ariffin.
Dalam pilihanraya berkenaan, Dr Wan Azmi menang dengan majoriti 319 undi selepas kiraan semula. Beliau memperolehi 15,357 undi manakala Azizan mendapat 15,038 undi dengan 1,287 undi rosak.
Pengiraan undi
Muhammad Sanusi mengemukakan lima penyataan dalam petisyennya, termasuk ejen mengira bagi calon PAS dinafikan hak mendapat Borang 14, iaitu penyata pengundian selepas pengiraan undi oleh ketua tempat mengundi dan pembukaan sampul khas berpelekat keselamatan oleh responden pertama yang mengandungi penyata rasmi pengundian, tidak mengikut peraturan undang-undang.
Tiga lagi penyataan ialah jumlah undi rosak pengiraan awal berbeza dengan jumlah undi rosak selepas pengiraan semula, berlaku kekeliruan dan kesilapan pada angka di antara pengiraan awal, pengiraan semula dan jumlah yang diwartakan yang boleh menjejaskan keputusan pilihanraya dan keputusan yang diwartakan tidak termasuk jumlah undi di daerah mengundi Kampung Gulau, pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Gulau, saluran 1.
Sebelum pengiraan semula, Dr Wan Azmi menang dengan majoriti 189 undi. Beliau mendapat 15,498 undi manakala Azizan memperolehi 15,309 undi dengan 875 undi rosak.
Mohamed Noor berkata Muhammad Sanusi memenuhi syarat sebagai seorang yang berhak mengemukakan petisyen berkenaan kerana beliau adalah pengundi di kawasan parlimen Sik.
Bagaimanapun, katanya, petisyen itu cacat kerana beliau tidak menyatakan permohonan itu dilakukan bagi pihak calon yang kalah dan beliau juga tidak menyatakan wujudnya undi yang salah itu, seperti pengundian oleh seseorang yang namanya tiada dalam senarai nama pengundi, pengundi yang menerima rasuah dan penyamaran pengundi.
Beliau berkata, pempetisyen harus membuktikan wujudnya pengundi yang salah itu dan menyenaraikan nama mereka, enam hari sebelum perbicaraan.
Mohamed Noor berkata, lima alasan yang dikemukakan dalam petisyen itu juga tidak menyokong tafahus, sebaliknya menjurus kepada memohon mahkamah mengisytiharkan pilihanraya berkenaan batal, tetapi pempetisyen tidak memohon perkara berkenaan.
Responden pertama dan kedua diwakili Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching dan Asma Bee Mohamad manakala Dr Wan Azmi diwakili peguam M Tiruvanathan. Muhammad Sanusi diwakili peguam Darshan Singh Khaira.

