Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menganggap keputusan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi, Rosleli Johari untuk merebut jawatan Ketua Umno bahagian tersebut sebagai satu "gangguan" tetapi tetap menerimanya dengan fikiran yang terbuka.

"Bagi saya, itu satu gangguan, tapi saya faham bahawa itulah demokrasi," katanya sambil menyifatkan perkembangan terbaru itu sebagai sesuatu yang amat mengejutkan. Mesyuarat perwakilan bahagian berkenaan dijadual berlangsung pada 11 Julai ini.

Menurutnya, ini kerana beliau tidak mendapat sebarang petunjuk bahawa akan dicabar untuk jawatan yang telah disandangnya sejak 10 tahun lalu.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menerima sumbangan RM1 juta bagi Tabung Kutipan Derma Kemanusiaan Mangsa Perang Iraq berjumlah RM1 juta daripada warga korporat dari Sarawak di Wisma Putra, di Putrajaya hari ini.

"Saya pun tak tahu bagaimana saya boleh dicabar. Saya fikir sayalah satu-satunya menteri yang kena cabar (untuk jawatan ketua bahagian). Tapi biasalah amalan demokrasi," demikian menurut laporan Bernama.

Menurut Syed Hamid selepas memenangi jawatan ketua bahagian tanpa bertanding sebelum ini, semua ahli akar umbi telah menyatakan sokongan kepadanya.

Beliau juga memenangi kerusi Parlimen Kota Tinggi tanpa bertanding dalam pilihanraya umum yang baru lalu.

Bimbang

"Saya banyak belajar, saya banyak percaya pada orang. Saya lihat orang-orang yang beri saya (kepercayaan), mereka inilah orang-orang yang sedang bekerja keras mencabar saya sekarang," katanya.

Katanya, antara faktor yang mungkin menyumbang kepada tindakan Rosleli itu, termasuk perasaan tidak puas hati ahli Umno ekoran pertukaran bahagian lama beliau iaitu dari Penggerang kepada Kota Tinggi.

"Sebab saya dari bahagian lama saya, Penggerang kemudian tukar ke Kota Tinggi. Saya fikir ini banyak menyebabkan perasaan tidak puas hati," katanya dan menambah bahawa bibit perasaan tidak puas hati mengenai calon yang bertanding untuk pilihan raya umum baru-baru ini juga, mungkin telah terbawa-bawa sehingga kini.

Berdasarkan keputusan mesyuarat kesemua 44 cawangan Umno di Kota Tinggi, Syed Hamid memperolehi 31 pencalonan berbanding 13 pencalonan yang diterima Rosleli.

Syed Hamid turut melahirkan rasa bimbangnya terhadap pertandingan untuk merebut jawatan, kerana akhirnya akan menjurus kepada banyak perkara yang memberi kesan kurang baik kepada kerukunan ahli dalam bahagian.

"Kita ni pertanding dalam satu parti, tapi nampak ia melahirkan suasana yang kurang sihat, banyak adu domba, banyak sebaran perkara yang negatif. Ini pertandingan dalam satu parti, (jadi) kadangkala saya fikir kita kena guna kebijaksanaan dalam melaksanakan demokrasi ini," katanya.

Beliau juga berharap sekiranya berlaku pertandingan di Bahagian Kota Tinggi nanti, ia akan dijalankan dalam suasana yang tenang dan tidak bergolak.

Menjawab satu soalan sekiranya perkembangan terbaru di Bahagian itu akan menjejaskan usahanya bertanding bagi jawatan naib presiden pada pemilihan parti September depan, katanya beliau yakin peluangnya tetap baik.