Presiden Badan Peguam, Christopher Leong menafikan dakwaan mengenai kurangnya ketelusan dalam pemilihan Majlis Peguam pada hari Selasa.
 
Menjawab kritikan itu semalam, Leong memberitahu Malaysiakini bahawa Majlis Peguam mengambil inisiatif sendiri untuk memberi peluang kepada calon dan wakil mereka melihat proses pengiraan undi walaupun ia tidak dikehendaki di bawah Akta Profesion Perundangan 1976 (LPA).
 
"Ia adalah sesuatu yang kami buat atas inisiatif kami sendiri dan dalam kekangan yang kita hadapi, untuk menggalakkan ketelusan," katanya ketika dihubungi.
 
Dilaporkan bahawa salah seorang calon, peguam M Reza Hassan, mendakwa bahawa Majlis Peguam tidak telus dalam proses pemilihan itu kerana beliau dihalang memasuki dewan untuk memerhati proses pengiraan undi.
 
Leong menegaskan bahawa calon dan wakil mereka tidak dibenarkan hadir secara fizikal di dalam bilik pengiraan undi untuk memelihara keselamatan kertas undi.

Katanya, calon-calon melihat proses mengira undi dari bilik pemerhatian.

 
"Ini juga untuk memastikan tidak ada kejadian yang tidak diingini di dalam bilik pengiraan undi atau apa-apa dakwaan campur tangan atau mengganggu kertas undi," katanya.
 
Leong menjelaskan persetujuan bertulis diperlukan untuk memastikan pemerhati tidak mengambil gambar, merakam atau menghantar secara elektronik rakaman proses pengiraan undi.
 
Reza enggan menandatangani surat tersebut dan calon itu berkata ekoran itu dia diminta meninggalkan bilik pemerhatian di mana proses pengiraan undi disiarkan secara langsung.
 
Tidak ada aduan diterima daripada mereka berkenaan Tdengan keperluan membuat persetujuan bertulis itu, kata Leong sambil menjelaskan bahawa persetujuan bertulis itu diperlukan kerana Majlis Peguam mempunyai pengalaman di mana ada ahli mengeluarkan rakaman program tertutup majlis itu sebelum ini.
 
Menjelaskan lebih lanjut, Leong berkata terdapat empat kamera dalam bilik pengiraan undi, di mana 10 pasukan kakitangan sekretariat Majlis Peguam membuat pengiraan.
 
"Kamera menyediakan liputan seluruh bilik dan proses pengiraan undi. Satu kamera tertumpu kepada salah satu pasukan tersebut, untuk melihat secara dekat contoh proses pengiraan undi," katanya.
 
Dalam pemilihan Majlis Peguam itu, peguam Hendon Mohamed menduduki tempat pertama bagi penggal 2015/2016. Dua puluh tiga calon bertanding 12 jawatan dalam Majlis Peguam.

[Baca berita penuh/asal]