Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang hadir ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) untuk memenuhi jemputan persatuan pelajar universiti, dakwa Angkatan Muda PKR (AMK).

Malah, dakwa Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad, terdapat campur tangan Bukit Aman “untuk memastikan halangan ini dikuatkuasakan”.

“AMK menyeru pihak pentadbiran UIAM bersikap profesional dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak dalam mempertahankan budaya ilmu dan mengangkat martabat universiti,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Nazmi ( kanan ) berkata, tindakan itu ironi kerana banyak universiti terbilang di peringkat antarabangsa, bukan sahaja mengundang beliau berucap tetapi turut menjadikannya tenaga pengajar jemputan.

Ini, katanya, termasuk Universiti Oxford, Universiti Georgetown dan Universiti Stanford.

Beliau juga membangkitkan pengalaman Anwar yang bukan sahaja seorang ahli parlimen tetapi juga ketua pembangkang dewan rakyat dan bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan “dengan rekod cemerlang”.

“Selain daripada itu, Falsafah Pendidikan Negara dibentuk semasa beliau menjadi menteri pendidikan," katanya yang juga exco pendidikan Selangor.

“Lebih dekat lagi, Datuk Seri Anwar juga merupakan bekas presiden UIA dan seorang yang cukup dikenali dengan perjuangan Islamisasi ilmu dan pembudayaan ilmu sejak usia mudanya. ”

Justeru, kata Nik Nazmi, halangan itu menunjukkan terdapat pihak dalam pentadbiran universiti membuat keputusan politik sempit dan tunduk pada tekanan untuk mengikut garis parti.

“Adalah malang jika pihak pentadbiran universiti gagal untuk menghayati semangat kebebasan akademik, dan mengiktiraf bahawa semua wakil rakyat, baik di peringkat persekutuan atau negeri, telah dipilih oleh majoriti di kawasan masing-masing, dan adalah sebahagian daripada anggota badan legislatif,” katanya.

Malaysiakini telah berhubung dengan pihak komunikasi korporat UIA dan Bukit Aman dan masih menunggu reaksi daripada pihak-pihak itu.

UIA menjelaskan akan menyiasat dakwaan itu terlebih dahulu manakala polis pula tidak dapat mengulasnya buat masa ini sementara menunggu pengesahan universiti itu.