Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat seorang penoreh getah akibat tembakan kerana menyangkanya haiwan buruan di Kuala Krai minggu lalu.
Abdul Roni Muhammad, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusof Yunus.
Menurut pertuduhan, Abdul Roni didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mohd Zulkifli Mat Isa, 48, secara salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh di sebuah ladang di Kuala Gris, Bukit Abu, Kuala Krai pada 6.30 petang, 27 November lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Nori Zaidah Abdul Salam.
Mohd Yusof kemudian menetapkan 5 Jan depan untuk sebutan semula kes itu dan tertuduh tidak dibenarkan jaminan.
- Bernama
